October 7, 2022
Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Pemimpin-pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dari Asia Tenggara, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) telah bersidang untuk membincangkan isu-isu yang menarik minat pergerakan di Asia Tenggara pada Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara (SEA RC/RC) ke-19.
Dianjurkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam, mesyuarat berlangsung selama dua hari bermula hari ini, dengan majlis perasmiannya diadakan di Hotel dan Apartmen Wafa.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan mesyuarat tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir ialah ahli Lembaga Pengarah IFRC dan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Yang Teramat Mulia Dato Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Pengarah Serantau Asia Pasifik IFRC, Alexander Matheo; Ketua Delegasi Serantau ICRC, Omar Odeh; Presiden PBSM Brunei Darussalam, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussof bin Pengiran Haji Bahar serta pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dan wakil-wakil dari Asia Tenggara.
Setiausaha Agung PBSM Brunei Darussalam, Sheikh Kadir Abdullah dalam ucapannya menjelaskan, pertemuan berkenaan merupakan mesyuarat tahunan yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin persatuan kebangsaan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dari Asia Tenggara, IFRC dan ICRC untuk membincangkan dan memutuskan isu-isu kepentingan kepada pergerakan dalam ahli persatuan kebangsaan Asia Tenggara.
“Ia juga merupakan platform untuk membincangkan dasar dan isu kerja Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dalam kalangan persatuan kebangsaan, sekretariat IFRC dan ICRC serta bersetuju dengan tindakan dan tindakan susulan yang sewajarnya,” ujarnya.
Beliau menambah, mesyuarat itu juga digunakan untuk mengambil kira kemajuan hala tuju strategik pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dan untuk membangunkan dan melaksanakan tindakan utama melalui kerjasama dan rangkaian serantau dalam kalangan persatuan kebangsaan, sekretariat IFRC, ICRC, dan Sekretariat ASEAN serta Pusat AHA.
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pembentangan dan dialog termasuk Sesi Dialog Pemimpin SEA RC dan Pemimpin Belia SEA dengan tema SEA RC Youth Ready and Challenges as the Future Leaders; IFRC & ASEAN Memorandum of Understanding-The Way Forward; SEA Engagement in Ifrc Governance; SEA Pandemic Preparedness; Working Towards the First Aid Vision 2030; dan lain-lain.
Turut diadakan pada majlis tersebut ialah penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) bagi perkongsian pintar antara PBSM Brunei Darussalam dengan Palang Merah Singapura.
Menandatangani bagi pihak PBSM Brunei Darussalam ialah Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussof manakala Palang Merah Singapura diwakili oleh Setiausaha Agung, Benjamin William.
Terdahulu, Setiausaha Agung PBSM Brunei Darussalam dalam ucapannya menjelaskan, MoU itu akan memberi peluang untuk kerjasama dalam program latihan dan pembangunan kapasiti, pendidikan kemanusiaan, penglibatan global dan penempatan, sokongan sosial kesihatan mental, pertolongan cemas dan program pembangunan belia.
Sheikh Kadir Abdullah juga berterima kasih kepada Palang Merah Singapura atas inisiatif dalam merapatkan peluang itu dengan PBSM Brunei Darussalam dan berharap kerjasama itu akan meningkatkan lagi penglibatan kapasiti dalam kedua-dua organisasi.
- Media Permata Online.