Waktu Bandar Utama

Khamis, 9 September 2021

Petugas, Sukarelawan PBSMNBD Dilindungi Di Bawah Insurans TBA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 September, 2021. Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSMNBD) merupakan salah sebuah organisasi yang terawal membantu Kementerian Kesihatan menangani wabak pandemik COVID-19 sejak 7 September 2021.

Lebih daripada 100 petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang berdaftar di bawah PBSMNBD yang terlibat, telah pun ditugaskan di beberapa buah Pusat Pengasingan di seluruh negara di samping di beberapa buah tempat lain di bawah kendalian Kementerian Kesihatan.

PBSMNBD berkolaborasi bersama Kementerian Kesihatan dalam menubuhkan Pusat Gerakan Operasi COVID-19 yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada Talian BruHealth dan Healthline 148, di samping menyediakan pelbagai bantuan sokongan seperti penyediaan Bakul Makanan Kecemasan kepada masyarakat yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19 terutama sekali kepada masyarakat yang tidak berkemampuan, warga emas, ibu tunggal, orang berkeperluan khas dan pekerja asing.

Di samping itu, Hub Logistik dan Gerakan Kecemasan, PBSMNBD juga menyediakan perkhidmatan Ambulan (Non-Medical) kepada Kementerian Kesihatan dalam membantu mobilisasi pesakit COVID-19 dan keluarga mereka yang sedang menjalani Kuarantin dan Isolasi Kendiri.

Perkhidmatan pengangkutan itu juga dari semasa ke semasa menangani penghantaran sampel spesimen, ubat-ubatan dan pelbagai perkhidmatan lainnya di bawah arahan Kementerian Kesihatan.

Untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan, kebajikan dan kemaslahatan semua petugas dan sukarelawan yang berdaftar di bawah PBSMNBD, mereka diberikan latihan asas dan latihan spesifik berhubung dengan pengendalian tugas yang diperlukan mengikut Terma Rujukan dan Standard Operasi Prosedur yang ketat. Selain itu mereka juga dilindungi oleh insurans berkelompok yang komprehensif.

Sehubungan itu, Insurans ‘Group Personal Accident’ adalah perlindungan komprehensif yang disediakan oleh Takaful Brunei Am (TBA) yang melindungi semua petugas dan sukarelawan di bawah PBSMNBD menerusi satu kolaborasi bersama.

Perlindungan insurans tersebut adalah salah satu keutamaan dan keistimewaan yang disediakan kepada semua petugas dan sukarelawan PBSMNBD dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan mereka yang bertugas di barisan hadapan yang berdepan dengan keadaan yang sukar dalam sama-sama memberikan perkhidmatan sukarela untuk mengekang merebaknya wabak pandemik COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Dalam pada itu, PBSMNBD merakamkan ucapan terima kasih kepada Takaful Brunei Am di atas kolaborasi dan sokongan yang diberikan kepada persatuan tersebut.

 



- Pelita Brunei - 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan