Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 16 Januari. - Seramai 38 orang ahli Platun Bulan Sabit Merah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), telah menerima sijil mengikut kategori masing-masing dalam acara yang berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Sekretari Jeneral Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Suhaimi bin Haji Ibrahim. Turut hadir ialah Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA, Dr. Awang Haji Supri bin Haji Sudin berserta jemputan khas dari Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.
Seramai dua orang ahli Platun Bulan Sabit Merah UNISSA telah dinaikkan pangkat kepada Sarjan, seorang ahli dinaikkan pangkat kepada Koperal, dan selebihnya dinaikkan kepada pangkat Lans Koperal.
Antara tujuan majlis diadakan ialah untuk meraikan dua orang mantan ahli Platun Bulan Sabit Merah UNISSA iaitu Awang Muhammad Syafiq bin Iskandar dan Dayang Nur Amal Afiqah binti Mohamad Nor Risman yang menerima sijil kecemerlangan atas peranan dan perkhidmatan mereka yang sangat berharga sebagai Ketua Platun dan Penolong Ketua Platun Bulan Sabit Merah UNISSA bagi Tahun 2023 hingga 2024.
Ketua Platun pada tahun ini, Sarjan Awang Khairul Hafizhan bin Kamis di dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis menjelaskan, Platun Bulan Sabit Merah UNISSA bukan sahaja terlibat untuk mewakili dalam acara universiti atau kebangsaan sebagai badan beruniform sahaja, tetapi juga telah dilatih dalam kemahiran asas pertolongan cemas yang menjadi aset berharga pada masa kini dan juga selaras dengan visi Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam iaitu 'One First Aider For Every Household By 2035'.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil keahlian bagi 21 orang ahli platun pengambilan ke-5 bagi bulan Ogos 2024 yang telah menyelesaikan pembelajaran Modul Latihan Utama Bulan Sabit Merah.
Sijil penghargaan juga disampaikan kepada 15 orang ahli platun yang telah meneruskan perkhidmatan mereka selama setahun, sejak kemasukan para platun pada bulan Ogos 2023 yang lalu.
Majlis turut diikuti dengan bacaan ikrar taat setia oleh ahli-ahli Platun Bulan Sabit Merah UNISSA untuk menanamkan nilai-nilai tulen yang berasaskan tujuh prinsip Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.
Majlis ini diadakan adalah untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan sumbangan atas kerja keras ahli platun, untuk memupuk minat dan meningkatkan kecenderungan mahasiswa dan mahasiswi untuk sering bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum di dalam dan di luar kampus sebagai badan beruniform, serta mengeratkan silaturahim di antara ahli Platun Bulan Sabit Merah UNISSA bersama dengan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.
- Pelita Brunei Online. (Sabtu, 18 Januari 2025)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan