PENGERUSI
Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria (PLB), Haji Ishak bin Haji Abu
Hanifah menyampaikan sijil lantikan exco kepada ahli penerima.
(Foto: Dk Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli)
KUALA BELAIT, Rabu, 1 Mei. - Persatuan
Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam Cawangan Daerah
Belait kini mempunyai lapan orang Ahli Jawatankuasa (exco) yang baru
dilantik.
Majlis Penyampaian Sijil Lantikan
disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria
(PLB), Haji Ishak bin Haji Abu Hanifah, selaku tetamu kehormat dan
salah seorang Penasihat Persatuan Cawangan Daerah Belait di salah sebuah
resturan Kampung Pandan Tujuh di sini.
Ahli-ahli yang dilantik terdiri daripada
Haji Ajak bin Haji Serudin, Dayang Pang Khek Hua, Tan Cho Hua, Chung
Yin Ngee, Kuan Huat Chye, Shim Kin Ying, Noraini bte Haji Hassan dan
Mariam binti Abdullah Liew yang telah menjadi ahli biasa sejak tahun
2011 dan sering bekerjasama memberikan khidmat sukarela dengan exco PBSM
cawangan Daerah Belait.
Antara khidmat sukarela yang diberikan
termasuk menyampaikan sumbangan berupa barang-barang keperluan asas yang
dibiayai oleh penaja program kepada orang-orang berkeperluan termasuk
warga emas yang tinggal di kawasan dari Pekan Belait hingga Liang Lumut.
Dari tahun 2011 hingga kini seramai
sembilan orang warga emas dan orang-orang berkeperluan telah menerima
sumbangan setahun sekali yang dikelolakan oleh persatuan berkenaan
dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Cawangan Daerah
Belait.
PBSM Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD)
ditubuhkan pada tahun 1948 dengan dikenali sebagai Persatuan Palang
Merah Negeri Brunei (PPMNB) yang diasaskan oleh Almarhum Pengiran
Temenggong Sahibul Bahar Pengiran Haji Mohammed.
Persatuan berkenaan mempunyai cawangan
ibu pejabat di Pekan Seria di bawah seliaan pekerja-pekerja asing yang
berkhidmat dengan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP). Setelah Negara
Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan dari naungan British pada tahun
1984, persatuan terpisah dari seliaan Palang Merah British.
Dari sejak penubuhan hingga kini
persatuan tersebut berkembang bukan hanya menjalankan misi kemanusiaan
dan kes-kes darurat termasuk menyelamatkan nyawa dan kesihatan manusia
bahkan juga turut sama memeduli kebajikan masyarakat.
PBSM Cawangan Daerah Belait kini
mempunyai lebih 700 ahli dari peringkat remaja hingga dewasa serta empat
orang penasihat yang dilantik kerana jawatan terdiri daripada Pegawai
Daerah, PLB, Ketua JAPEM dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Ugama di samping 48
orang sukarelawan yang berdaftar dengan persatuan tersebut dan
persatuan berkenaan sangat mengalu-alukan orang ramai menjadi ahli
persatuan.
Antara yang hadir di majlis tersebut
termasuk Setiausaha Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Sarih
bin Tabong dan Pengerusi PBSM cawangan Daerah Belait, Chai Yum Fatt.
- Pelita Brunei Online - Sabtu, 04 Mei 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan