PEMANGKU
Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Abdul Malik bin Haji Mohammad (dua
dari kiri) semasa hadir selaku tetamu kehormat di Majlis Doa Kesyukuran
di Ibu Pejabat PBSM yang baru di Berakas.
(Foto: Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman)
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Ogos. - Persatuan
Bulan Sabit Merah (PBSM) Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam, petang
tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena berpindah ke ibu pejabat
baru persatuan berkenaan di Blok ‘C’, Tingkat 3, Simpang 32-5, Bangunan
Anggerek Desa, Berakas, di sini.
Majlis yang diadakan di Ibu Pejabat PBSM
yang baru itu dihadiri oleh Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang
Haji Abdul Malik bin Haji Mohammad, selaku tetamu kehormat majlis.
Terdahulu, majlis bermula dengan bacaan
Surah Al Faatihah beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Ugama PBSM
Kebangsaan, Awang Haji Shahminan bin Awang Haji Tengah, diikuti dengan
ucapan alu-aluan daripada Presiden PBSM Kebangsaan, Datin Hajah Siti
Hajar binti POKSS Dato Paduka Haji Mohd. Yussof.
Dalam majlis itu, tetamu kehormat juga
menyempurnakan penyerahan anak kunci ibu pejabat baru persatuan itu
kepada Presiden PBSM Kebangsaan.
Majlis dihadiri oleh Ahli-ahli Majlis Kebangsaan persatuan berkenaan.
PBSM Negara Brunei Darussalam ditubuhkan pada tahun 1948 dengan dikenali sebagai Persatuan Palang Merah Negeri Brunei (PPMNB).
Dengan diasaskan oleh Al-Marhum Pengiran
Temenggong Sahibul Bahar bin Pengiran Haji Mohammed, penubuhan
persatuan berkenaan adalah bagi menyokong salah satu keputusan
Persidangan Perubatan di Cannes, Perancis yang bersidang pada 5 Mei 1918
dan menyeru agar lebih banyak Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit
Merah ditubuhkan di seluruh dunia.
PPMNB telah diiktiraf di dalam
Perlembagaan Negeri Brunei 1959 yang mana pada tahun 1977, ianya
diterima menjadi ahli yang ke-170 di Persekutuan Antarabangsa Palang
Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).
Setelah berada di bawah seliaan
Persatuan Palang Merah British (British Red Cross Society) sehingga
tahun 1984, PBSM terpisah dari seliaan Palang Merah British setelah
Negara Brunei Darussalam merdeka daripada naungan British dan pada
tahun 1991.
Persatuan berkenaan didaftarkan secara
rasmi di bawah Seksyen 83 (3) Akta Pertubuhan-Pertubuhan sebagai sebuah
bantuan sukarela yang tertakluk di bawah syarat-syarat Konvensyen
Geneva.
Pada 6 November 1996, PBSM diterima sebagai ahli yang ke-170 dalam Jawatankuasa Antarabangsa Palang/Bulan Sabit Merah (ICRC).
- Pelita Brunei Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan