KUALA BELAIT, 11 April –
Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM’NBD) dijangka akan
terpilih sebagai penyelaras Mesyuarat Kepimpinan Palang Merah dan Bulan Sabit
Merah Asia Tenggara ke-13 2016.
Tugas
penyelaras mesyuarat tersebut telah diserahkan di akhir Mesyuarat Tahunan
Kepimpinan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara ke-11 yang diadakan
di Singapura baru-baru ini.
Penasihat
Perancangan Strategik dan Dasar Awang Haji Ismail bin Kassim memberitahu hari
ini, penyerahan tugas berkenaan telah diserahkan kepada Palang Merah Kemboja
bagi melaksanakan mesyuarat pada tahun 2015 dan telah merisik PBSM’NBD untuk
persediaan menyelaras mesyuarat ke-13 bagi tahun 2016.
PBSM’NBD
adalah antara sebelas buah negara selain Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia,
Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam yang telah
menghadiri mesyuarat tersebut yang telah dilancarkan oleh tetamu kehormatnya
Menteri Kanan Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura Masagos Zulkifli.
PBSM’NBD
telah diwakili oleh empat orang kepimpinannya iaitu Pengarah Kebangsaan Awang
Morni bin Haji Awang Damit, Presiden Awang Haji Julaini bin Haji Latif,
Timbalan Presiden Awang Chai Yum Fatt dan Penasihat Perancangan Strategik dan
Dasar Awang Haji Ismail bin Kassim.
Beberapa
isu yang memfokuskan hal-hal pentadbiran, peraturan, perundangan dan penggunaan
Lambang Palang Merah/Bulan Sabit Merah telah diperbincangkan dalam mesyuarat
tersebut yang berlangsung pada 23hb hingga 26hb Mac lalu. Selain itu isu
keselamatan dan kesihatan serta membincangkan perancangan pelan tindakan semasa
kejadian wabak dan bencana alam turut dibincangkan.