Waktu Bandar Utama

Isnin, 14 April 2014

PBSM’NBD penyelaras Mesyuarat Palang Merah 2016

Oleh Hajah Saemah Zulkefli

KUALA BELAIT, 11 April – Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM’NBD) dijangka akan terpilih sebagai penyelaras Mesyuarat Kepimpinan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara ke-13 2016.
                
 Tugas penyelaras mesyuarat tersebut telah diserahkan di akhir Mesyuarat Tahunan Kepimpinan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara ke-11 yang diadakan di Singapura baru-baru ini.

                Penasihat Perancangan Strategik dan Dasar Awang Haji Ismail bin Kassim memberitahu hari ini, penyerahan tugas berkenaan telah diserahkan kepada Palang Merah Kemboja bagi melaksanakan mesyuarat pada tahun 2015 dan telah merisik PBSM’NBD untuk persediaan menyelaras mesyuarat ke-13 bagi tahun 2016.

                PBSM’NBD adalah antara sebelas buah negara selain Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam yang telah menghadiri mesyuarat tersebut yang telah dilancarkan oleh tetamu kehormatnya Menteri Kanan Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura Masagos Zulkifli.

                PBSM’NBD telah diwakili oleh empat orang kepimpinannya iaitu Pengarah Kebangsaan Awang Morni bin Haji Awang Damit, Presiden Awang Haji Julaini bin Haji Latif, Timbalan Presiden Awang Chai Yum Fatt dan Penasihat Perancangan Strategik dan Dasar Awang Haji Ismail bin Kassim.
                Beberapa isu yang memfokuskan hal-hal pentadbiran, peraturan, perundangan dan penggunaan Lambang Palang Merah/Bulan Sabit Merah telah diperbincangkan dalam mesyuarat tersebut yang berlangsung pada 23hb hingga 26hb Mac lalu. Selain itu isu keselamatan dan kesihatan serta membincangkan perancangan pelan tindakan semasa kejadian wabak dan bencana alam turut dibincangkan.

- Media Permata. Sabtu/Ahad. 12/13 April 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan