- Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 30 Mei. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menghargai sumbangan persatuan-persatuan, badan-badan bukan kerajaan (NGOs), para sukarelawan termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam kepada pemedulian masyarakat dan pembangunan negara.
Sumbangan yang diberikan seharusnya tidak dipandang ringan atau diperkecilkan oleh masyarakat kerana jika jumlah waktu masa dan tenaga yang disumbangkan serta produktiviti kerja sukarela yang dihasilkan diterjemah dan diukur dalam konteks waktu bekerja dan pendapatan kasar negara (KDNK) akan mencapai puluhan ribu jam dan puluhan juta ringgit setahun.
MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Perkerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah ketika hadir selaku tetamu kehormat dalam Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-67 Penubuhan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.
Berucap demikian di Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Penubuhan PBSM Negara Brunei Darussalam Ke-67, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyatakan perkhidmatan seorang sukarelawan adalah dilihat lebih tinggi nilainya kerana ia berasaskan kepada keikhlasan hati nurani dan budi pekerti yang luhur yang tidak mengenal ganjaran dan upah.
Menyentuh mengenai sumbangan PBSM kepada masyarakat dan negara, Yang Berhormat menyatakan, ia adalah sangat bermakna dan besar nilainya dari aspek memberikan perkhidmatan bagi tujuan meringankan kesengsaraan dan penderitaan yang dialami oleh masyarakat setempat sama ada di waktu hari-hari biasa, perayaan-perayaan, bencana alam dan malapetaka.
YANG Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika berucap dalam Majlis Makan Malam
Sempena Ulang Tahun Ke-67 Penubuhan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.
Sempena Ulang Tahun Ke-67 Penubuhan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.
"PBSM memberikan rawatan kecemasan barisan hadapan bagi menyelamatkan nyawa sebelum pesakit atau mangsa mendapatkan rawatan seterusnya," jelas Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat, sumbangan PBSM dalam melatih dan mendidik para sukarelawan untuk sentiasa prihatin, bertanggungjawab dan bersifat ihsan kepada masyarakat yang memerlukan, sama ada dalam keadaan aman ataupun darurat, telah melahirkan barisan kepimpinan belia yang dedikasi, berintegriti dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara melalui kerja-kerja kesukarelawanan.
Pada kesempatan itu, Yang Berhormat menyeru masyarakat umum di luar sana khususnya para belia negara untuk meningkatkan penglibatan diri dalam bidang kesukarelawanan sama ada secara persendirian mahupun melalui persatuan-persatuan sukarela seperti PBSM kerana, di samping ganjaran pahala di sisi Islam, penglibatan dalam bidang kesukarelawanan dan kemasyarakatan boleh menyediakan 'platform' peningkatan kapasiti dan pengalaman bagi melengkapkan keperibadian dan jati diri pada belia untuk menghadapi cabaran masa kini dan hadapan.
YANG Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan Anugerah 'Henry Dunant Leaders Award'.
Majlis pada malam itu diselajurkan dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan 'Jasa Bakti Pemimpin' kepada para pemimpin, ahli dan sukarelawan PBSM dan 'Henry Dunant Leaders Award' yang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir ialah perwakilan daripada International Committee of Red Cross, Claire Servoin dan Ketua Delegasi Fedoras Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), Anne Leclerc.
Objektif majlis diadakan adalah untuk memperingati Ulang Tahun Ke-67 Penubuhan PBSM Negara Brunei Darussalam yang diselajurkan bersempena dengan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang dirayakan pada setiap 8 Mei di seluruh dunia yang bertemakan pada tahun ini ialah 'Memperingati 50 Tahun 7 Prinsip Fundamental Palang Merah dan Bulan Sabit Merah'.
Negara Brunei Darussalam menjadi ahli yang Ke-170 dalam Pertubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Dunia dan mempunyai seramai 200 pegawai, ahli dan sukarelawan dari seluruh daerah.
- Pelita Brunei Online - Ahad, 31 Mei 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan