- Oleh: Aimi Sani / Foto : Hamzah Mohiddin
- MENTERI Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusof semasa berucap pada Majlis Pertauliahan Pensijilan dan Akreditasi Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas.
- BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Ogos. - Kursus Pertolongan Cemas adalah merupakan kursus kemahiran asasi yang sangat berguna dan tinggi manfaatnya yang perlu diserapkan serta diperluaskan kepada lebih banyak lagi individu di kalangan organisasi serta masyarakat di negara ini.Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusof menyatakan ia adalah sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang situasi kritikal dan kecemasan sama ada dalam kehidupan seharian mahupun dalam kemungkinan keadaan berlakunya sebarang bencana alam.Pertolongan cemas atau 'first aid', katanya, merupakan respons rawatan pertama yang diberikan dengan tujuan utama untuk menyelamatkan nyawa, di samping membantu meringankan penderitaan atau kesakitan sekali gus berusaha bagi menstabilkan seterusnya mengelakkan sebarang kecederaan menjadi lebih serius.Berucap pada Majlis Pertauliahan Pensijilan dan Akreditasi Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas bertempat di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat seterusnya berkata, prosedur pertolongan cemas sebagai respons rawatan pertama ini bukanlah sebagai pengganti kepada perkhidmatan kecemasan tetapi ianya sangat diperlukan iaitu sebagai langkah awal yang cepat yang boleh meningkatkan peluang survival sebelum intervensi atau rawatan lanjut dilakukan oleh para profesional perubatan bertauliah sama ada melalui perkhidmatan paramedik ambulans atau perkhidmatan kecemasan di hospital-hospital.“Seperti kita sedia maklum bahawa Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti kepentingan serta keutamaan kursus pertolongan cemas ini di mana melalui Pusat Kebangsaan Resusitasi (PKR) telah menganjurkan kursus-kursus ini dengan dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih bertauliah termasuk dari kumpulan jururawat berkemahiran,” terang Yang Berhormat.
Sejak tahun 2010 hingga 2014, secara purata PKR, ujar Yang Berhormat telah menjalankan lebih 50 Kursus Pertolongan Cemas dengan keramaian 1,600 sehingga 1,800 peserta dalam setahun yang mana ini termasuklah latihan kemahiran Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR) dan Automated External Defibrillator (AED) bagi agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan di negara ini.Program seperti ini jelas Yang Berhormat, adalah juga mendukung kepada pembangunan kapasiti serta kemahiran untuk memberikan pertolongan cemas sebagai respons atau rawatan pertama dengan serta- merta kepada mereka yang memerlukan.Permintaan untuk menjalani kursus ini, kata Yang Berhormat, semakin meningkat dari setahun ke setahun yang mana ini menunjukkan satu trend yang sangat positif dan memberangsangkan serta jelas memperlihatkan peningkatan dan pemahaman dari pihak organisasi bukan sahaja di kalangan agensi-agensi kerajaan, malahan juga dari pihak swasta mengenai kepentingan untuk memperolehi kemahiran pertolongan kecemasan.
“Dalam usaha memantapkan dan mengukuhkan lagi program Kursus Pertolongan Cemas (First Aid) di negara ini, adalah diharapkan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam akan secara berterusan bekerjasama rapat dengan PSK, Kementerian Kesihatan terutama sekali ke arah individu yang bukan sahaja berkemahiran dalam pertolongan cemas, malahan juga membantu kesiapsiagaan serta meningkatkan keyakinan mereka untuk memberikan pertolongan cemas dengan betul dan berkesan kepada mereka yang memerlukan dalam apa jua situasi dan persekitaran.
Kemahiran pertolongan cemas, ujar Yang Berhormat, boleh menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih kuat dan kukuh.
Oleh yang demikian, tegasnya, adalah wajar bagi bidang pertolongan cemas ini dipromosikan dan dipertingkatkan kemudahan akses supaya lebih ramai daripada kalangan masyarakat akan dapat mempelajarinya dan mereka yakin mengamalkannya dalam situasi memerlukan.
Selain itu, tambah Yang Berhormat, ianya adalah sangat bermanfaat dalam mendukung kesiapsiagaan negara dalam menghadapi keadaan kecemasan seperti mana bencana banjir dan sebagainya. - - Pelita Brunei Online. Jumaat, 28 Ogos 2015.
Blog Alternatif Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam
Khamis, 8 Oktober 2015
Kursus Pertolongan Cemas, kesiapsiagaan hadapi situasi kritikal
Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas terima sijil
- Oleh: Aimi Sani / Foto : Hamzah Mohiddin
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Ogos. - Seramai 20 orang Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas Akademi Pertolongan Cemas Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam menerima sijil masing-masing pada Majlis Pertauliahan Pensijilan dan Akreditasi Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas bertempat di Bilik Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil-sjil kepada para peserta ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusof.
Para peserta kursus Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas ini diiktiraf sebagai jurulatih bertauliah dan berdaftar dengan Federasi Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).
Peserta kursus diperlengkapkan dengan ilmu pengetahuan teori malahan diberikan pelbagai kemahiran secara praktikal dalam bidang pertolongan cemas bertaraf antarabangsa.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Julaini bin Haji Latif yang juga selaku Presiden persatuan tersebut.
YANG Berhormat Menteri Kesihatan semasa hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.
YANG Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan sijil kepada perserta yang mengikuti kursus tersebut.
MENTERI Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusof bergambar ramai bersama para peserta kursus.
- Pelita Brunei Online. Jumaat. 28 Ogos 2015.
Kemalangan libatkan penunggang basikal membimbangkan
Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Statistik kemalangan melibatkan kematian telah menunjukkan penurunan pada tahun 2014 jika dibandingkan dengan tahun 2013, tetapi, tahun ini, dua kes kemalangan maut melibatkan penunggang basikal telah berlaku.
“Ini adalah sangat membimbangkan,” ujar Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Awang Abdul Mutalib bin POKSSDP Haji Mohd Yusof selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) semasa menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Program Kesedaran Pertolongan Cemas bersama Persatuan dan Kelab Motosikal Negara Brunei Darussalam sempena Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2014 yang berlangsung di Bilik Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Beliau seterusnya menekankan, MKKJR dan pihak berkepentingan yang berkenaan turut memberikan perhatian yang serius bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya berisiko tinggi yang lain.
“Oleh itu,MKKJR melalui Kementerian Perhubungan telah mengambil langkah dengan mengundang semua persatuan, kelab, kumpulan dan penunggang basikal persendirian ke majlis dialog yang diadakan pada 7 September lalu untuk sama-sama menangani isu ini,” katanya.
Menurut beliau, dialog berkenaan antara lain bertujuan untuk membincangkan dan berkongsi mengenai amalan terbaik berbasikal yang selamat.
Hasil daripada sesi dialog itu, beberapa cadangan dan tindakan susulan telah diambil kira, dan antara tindakan yang akan disusul bersama dengan persatuan dan kelab berkenaan dalam masa terdekat ini ialah Program Klinik Berbasikal untuk semua penunggang basikal termasuk kanak-kanak sekolah.
“Ini adalah untuk memastikan penunggang basikal mahir dan faham etika berbasikal yang betul dan selamat di atas jalan raya,” jelas beliau.
Sementara itu, Kempen Kongsi Jalan Raya pula adalah untuk memberi kesedaran yang berterusan kepada pemandu untuk sentiasa peka tentang kewujudan pengguna jalan raya lain seperti penunggang basikal, pejalan kaki dan motosikal.
Selain itu, tambah beliau, penggubalan peraturan berbasikal yang sedia ada supaya selaras dengan perubahan semasa dan akan datang.
Terdahulu, menyentuh mengenai program anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dengan kerjasama persatuan dan kelab motosikal di negara ini, beliau berkata inisiatif seumpama ini disokong penuh dan digalakkan oleh MKKJR, yang mana ia juga bertepatan dengan salah satu teras utama di bawah ‘Decade of Action for Road Safety (2011-2020)’, iaitu, ‘post-crash accident response’.
Katanya, usaha bersepadu ini menunjukkan komitmen persatuan-persatuan dan kelab serta penunggang bebas dalam memastikan pengguna jalan raya yang berisiko tinggi sentiasa selamat dan bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan semasa menunggang motosikal.
“Semangat kerjasama yang ditunjukkan ini wajar dicontohi dan adalah sangat-sangat dihargai,” ujarnya.
“Usaha sama persatuan dan kelab seperti PEMODA dan pertubuhan seperti PBSM dalam menangani isu-isu keselamatan jalan raya, merupakan antara amalan terbaik yang perlu dikekalkan,” ujar beliau lagi.
“Dengan adanya penglibatan kelab-kelab seperti PEMODA dan penunggang motosikal bebas, perkara yang melibatkan penunggang motosikal dapat dikenal pasti dan ditangani dengan berkesan,” ujar beliau lagi.
Sejak beberapa tahun ini, kerjasama di antara MKKJR dan PEMODA telah dapat mengusahakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kepekaan tentang keselamatan jalan raya, khususnya bagi para penunggang motosikal.
Usaha-usaha kerjasama ini telah menunjukkan hasil yang positif, iaitu kurangnya kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal (5 pada tahun 2013, 4 tahun 2014 dan dari bulan Januari-Ogos 2015, 1 nyawa terkorban), ujarnya lagi.
Program berkenaan telah dihadiri oleh ahli-ahli PBSM, persatuan-persatuan dan kelab motosikal serta penunggang motosikal bebas.
Atur cara program antara lain diisi dengan seminar mengenai pertolongan cemas khusus untuk penunggang motosikal di samping demonstrasi pertolongan cemas.
- Media Permata. 14 September 2015.
Pendekatan pertolongan cemas
Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam akan sama-sama memperingati Hari Pertolongan Cemas Sedunia yang disambut di seluruh dunia esok dengan mengadakan pelbagai aktiviti sehingga 30 September.
Bagi memeriahkan sambutan itu, PBSM Brunei Darussalam akan menganjurkan Program Pertolongan Cemas untuk Penunggang Motosikal pada 13 September ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, bermula 9.30 pagi.
Program ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang cara-cara memberi bantuan awal sekali gus dapat menyelamatkan nyawa.
Dalam program itu nanti, beberapa aktiviti akan diadakan antaranya taklimat dan demonstrasi pertolongan cemas termasuk mengenai 4 B’s (Pernafasan, pendarahan, patah dan terbakar) serta pengenalan kecemasan.
Program ini dianjurkan bersama kelab penunggang motosikal bebas yang menjangkakan penyertaan kira-kira 100 penunggang di seluruh negara dan bagi sesiapa yang berminat untuk menyertainya, pendaftaran adalah percuma.
- Media Permata. 12 September 2015.
Langgan:
Catatan (Atom)