Waktu Bandar Utama

Khamis, 8 Oktober 2015

Kursus Pertolongan Cemas, kesiapsiagaan hadapi situasi kritikal

  • Oleh:  Aimi Sani / Foto : Hamzah Mohiddin
    • MENTERI Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusof semasa berucap pada Majlis Pertauliahan Pensijilan dan Akreditasi Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas.
    • MENTERI Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusof semasa berucap pada Majlis Pertauliahan Pensijilan dan Akreditasi Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas.

    • BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Ogos. - Kursus Pertolongan Cemas adalah merupakan kursus kemahiran asasi yang sangat berguna dan tinggi manfaatnya yang perlu diserapkan serta diperluaskan kepada lebih banyak lagi individu di kalangan organisasi serta masyarakat di negara ini.
      Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd. Yusof menyatakan ia adalah sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang situasi kritikal dan kecemasan sama ada dalam kehidupan seharian mahupun dalam kemungkinan keadaan berlakunya sebarang bencana alam.
      Pertolongan cemas atau 'first aid', katanya, merupakan respons rawatan pertama yang diberikan dengan tujuan utama untuk menyelamatkan nyawa, di samping membantu meringankan penderitaan atau kesakitan sekali gus berusaha bagi menstabilkan seterusnya mengelakkan sebarang kecederaan menjadi lebih serius.
      Berucap pada Majlis Pertauliahan Pensijilan dan Akreditasi Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas bertempat di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat  seterusnya berkata, prosedur pertolongan cemas sebagai respons rawatan pertama ini bukanlah sebagai pengganti kepada perkhidmatan kecemasan tetapi ianya sangat diperlukan iaitu sebagai langkah awal yang cepat yang boleh meningkatkan peluang survival sebelum intervensi atau rawatan lanjut dilakukan oleh para profesional perubatan bertauliah sama ada melalui perkhidmatan paramedik ambulans atau perkhidmatan kecemasan di hospital-hospital.
      “Seperti kita sedia maklum bahawa Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti kepentingan serta keutamaan kursus pertolongan cemas ini di mana melalui Pusat Kebangsaan Resusitasi (PKR) telah menganjurkan kursus-kursus ini dengan dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih bertauliah termasuk dari kumpulan jururawat berkemahiran,” terang Yang Berhormat.

      Sejak tahun 2010 hingga 2014, secara purata PKR, ujar Yang Berhormat telah menjalankan lebih 50 Kursus Pertolongan Cemas dengan keramaian 1,600 sehingga 1,800 peserta dalam setahun yang mana ini termasuklah latihan kemahiran Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR) dan Automated External Defibrillator (AED) bagi agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan di negara ini.

      Program seperti ini jelas Yang Berhormat, adalah juga mendukung kepada pembangunan kapasiti serta kemahiran untuk memberikan pertolongan cemas sebagai respons atau rawatan pertama dengan serta- merta kepada mereka yang memerlukan.
      Permintaan untuk menjalani kursus ini, kata Yang Berhormat, semakin meningkat dari setahun ke setahun yang mana ini menunjukkan satu trend yang sangat positif dan memberangsangkan serta jelas memperlihatkan peningkatan dan pemahaman dari pihak organisasi bukan sahaja di kalangan agensi-agensi kerajaan, malahan juga dari pihak swasta mengenai kepentingan untuk memperolehi kemahiran pertolongan kecemasan.

      “Dalam usaha memantapkan dan mengukuhkan lagi program Kursus Pertolongan Cemas (First Aid) di negara ini, adalah diharapkan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam akan secara berterusan bekerjasama rapat dengan PSK, Kementerian Kesihatan terutama sekali ke arah individu yang bukan sahaja berkemahiran dalam pertolongan cemas, malahan juga membantu kesiapsiagaan serta meningkatkan keyakinan mereka untuk memberikan pertolongan cemas dengan betul dan berkesan kepada mereka yang memerlukan dalam apa jua situasi dan persekitaran.

      Kemahiran pertolongan cemas, ujar Yang Berhormat, boleh menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih kuat dan kukuh.

      Oleh yang demikian, tegasnya, adalah wajar bagi bidang pertolongan cemas ini dipromosikan dan dipertingkatkan kemudahan akses supaya lebih ramai daripada kalangan masyarakat akan dapat mempelajarinya dan mereka yakin mengamalkannya dalam situasi memerlukan.

      Selain itu, tambah Yang Berhormat, ianya adalah sangat bermanfaat dalam mendukung kesiapsiagaan negara dalam menghadapi keadaan kecemasan seperti mana bencana banjir dan sebagainya.
    • - Pelita Brunei Online. Jumaat, 28 Ogos 2015.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan