Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Statistik kemalangan melibatkan kematian telah menunjukkan penurunan pada tahun 2014 jika dibandingkan dengan tahun 2013, tetapi, tahun ini, dua kes kemalangan maut melibatkan penunggang basikal telah berlaku.
“Ini adalah sangat membimbangkan,” ujar Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Awang Abdul Mutalib bin POKSSDP Haji Mohd Yusof selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) semasa menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Program Kesedaran Pertolongan Cemas bersama Persatuan dan Kelab Motosikal Negara Brunei Darussalam sempena Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2014 yang berlangsung di Bilik Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Beliau seterusnya menekankan, MKKJR dan pihak berkepentingan yang berkenaan turut memberikan perhatian yang serius bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya berisiko tinggi yang lain.
“Oleh itu,MKKJR melalui Kementerian Perhubungan telah mengambil langkah dengan mengundang semua persatuan, kelab, kumpulan dan penunggang basikal persendirian ke majlis dialog yang diadakan pada 7 September lalu untuk sama-sama menangani isu ini,” katanya.
Menurut beliau, dialog berkenaan antara lain bertujuan untuk membincangkan dan berkongsi mengenai amalan terbaik berbasikal yang selamat.
Hasil daripada sesi dialog itu, beberapa cadangan dan tindakan susulan telah diambil kira, dan antara tindakan yang akan disusul bersama dengan persatuan dan kelab berkenaan dalam masa terdekat ini ialah Program Klinik Berbasikal untuk semua penunggang basikal termasuk kanak-kanak sekolah.
“Ini adalah untuk memastikan penunggang basikal mahir dan faham etika berbasikal yang betul dan selamat di atas jalan raya,” jelas beliau.
Sementara itu, Kempen Kongsi Jalan Raya pula adalah untuk memberi kesedaran yang berterusan kepada pemandu untuk sentiasa peka tentang kewujudan pengguna jalan raya lain seperti penunggang basikal, pejalan kaki dan motosikal.
Selain itu, tambah beliau, penggubalan peraturan berbasikal yang sedia ada supaya selaras dengan perubahan semasa dan akan datang.
Terdahulu, menyentuh mengenai program anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dengan kerjasama persatuan dan kelab motosikal di negara ini, beliau berkata inisiatif seumpama ini disokong penuh dan digalakkan oleh MKKJR, yang mana ia juga bertepatan dengan salah satu teras utama di bawah ‘Decade of Action for Road Safety (2011-2020)’, iaitu, ‘post-crash accident response’.
Katanya, usaha bersepadu ini menunjukkan komitmen persatuan-persatuan dan kelab serta penunggang bebas dalam memastikan pengguna jalan raya yang berisiko tinggi sentiasa selamat dan bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan semasa menunggang motosikal.
“Semangat kerjasama yang ditunjukkan ini wajar dicontohi dan adalah sangat-sangat dihargai,” ujarnya.
“Usaha sama persatuan dan kelab seperti PEMODA dan pertubuhan seperti PBSM dalam menangani isu-isu keselamatan jalan raya, merupakan antara amalan terbaik yang perlu dikekalkan,” ujar beliau lagi.
“Dengan adanya penglibatan kelab-kelab seperti PEMODA dan penunggang motosikal bebas, perkara yang melibatkan penunggang motosikal dapat dikenal pasti dan ditangani dengan berkesan,” ujar beliau lagi.
Sejak beberapa tahun ini, kerjasama di antara MKKJR dan PEMODA telah dapat mengusahakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kepekaan tentang keselamatan jalan raya, khususnya bagi para penunggang motosikal.
Usaha-usaha kerjasama ini telah menunjukkan hasil yang positif, iaitu kurangnya kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal (5 pada tahun 2013, 4 tahun 2014 dan dari bulan Januari-Ogos 2015, 1 nyawa terkorban), ujarnya lagi.
Program berkenaan telah dihadiri oleh ahli-ahli PBSM, persatuan-persatuan dan kelab motosikal serta penunggang motosikal bebas.
Atur cara program antara lain diisi dengan seminar mengenai pertolongan cemas khusus untuk penunggang motosikal di samping demonstrasi pertolongan cemas.
- Media Permata. 14 September 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan