BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM)
Negara Brunei Darussalam perlu terus peka terhadap cabaran dalam
kepimpinan dan cabaran untuk terus meningkatkan keupayaan kapasiti
ahlinya dalam memastikan objektif penubuhan persatuan ini tetap terus
relevan dan mampu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada bangsa dan
negara.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menekankan, dalam era ekonomi
dunia yang dihambat oleh pelbagai cabaran ini, seperti juga pergerakan
atau persatuan yang lain, ahli-ahli PBSM Negara Brunei Darussalam perlu
lebih pro aktif dalam memastikan keupayaan peningkatan diri sendiri
terutama dalam mencari jalan untuk menjana pendapatan sebagai pemangkin
Dana untuk membiayai kegiatan dan aktiviti serta urus tadbir organisasi.
Di Brunei Darussalam, ujar Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar
Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, PBSM
cukup sinonim dengan perkhidmatan pertolongan cemas.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Oleh itu, program latihan pertolongan cemas merupakan salah satu
peluang yang boleh dikomersialkan sebagai produk menjana dana, tambah
Yang Berhormat Pehin lagi semasa menyampaikan ucapan pada Majlis
Perhimpunan Agung Kebangsaan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah
Sedunia 2016 di Bilik Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas,
di sini, hari ini.
Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, Akademi Pertolongan Cemas
PBSM Negara Brunei Darussalam yang ditubuhkan pada tahun lalu telah pun
mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Antarabangsa Persatuan
Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, sekali gus diberikan pengiktirafan
antarabangsa untuk mengeluarkan sijil-sijil pertolongan cemas.
Menurutnya, PBSM Negara Brunei Darussalam memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan perkhidmatan pertolongan cemas.
Yang Berhormat Pehin melahirkan harapan agar semua warga PBSM Negara
Brunei Darussalam akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan
pertolongan cemas sebagai wadah fundamental kepada pergerakan
kemanusiaan yang sudah sebati dalam diri semua semenjak 68 tahun yang
lalu.
Pada majlis perhimpunan agung berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut
menyempurnakan penyampaian surat lantikan dan sijil tauliah pangkat
penghormatan kepada ahli lembaga penasihat.
Tetamu kehormat menyampaikan surat lantikan dan sijil tauliah pangkat kepada seorang anggota PBSM.
Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam, Haji Ismail bin Kassim dalam
ucapannya berkata, penerimaan surat lantikan dan sijil tauliah pangkat
penghormatan adalah satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul
dengan berani, kekuatan dan kemantapan.
“Segala cabaran mestilah diterima dengan perpaduan dalam satu
kumpulan yang berhemah dengan panduan serta limpah rahmat Allah jua.
Semestinya jua ia diterima kerana telah dimandatkan dengan pilihan yang
diadakan secara undi kepercayaan dan pilihan,” jelasnya lagi.
Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas
bantuan dan sokongan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam.
Acara mengangkat sumpah ahli PBSM.
PBSM Negara Brunei Darussalam ditubuhkan dengan matlamat utama untuk
mewujudkan sebuah badan pergerakan kemanusiaan yang bertaraf
antarabangsa tanpa perbezaan politik bangsa, agama dan bersesuaian
dengan tujuh prinsip asas yang diamalkan oleh Persatuan Palang Merah dan
Bulan Sabit Merah Sedunia.
- Media Permata Online. 09 Mei 2016.