Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 22 April – Sejarah hidupnya yang pernah hidup susah
menjadi dorongan kepada seorang ahli perniagaan berjaya untuk melibatkan
diri dalam pelbagai projek membantu masyarakat yang memerlukan.
Pengarah AE Asia Agri-Mart Sdn Bhd, Chai Yum Fatt, 61, semasa ditemui
Media Permata, hari ini, memberitahu bahawa beliau merancang untuk
meneruskan projek membantu masyarakat yang memerlukan dan warga emas
dengan menubuhkan dana kebajikan di syarikatnya dalam masa yang
terdekat.
Beliau yang sebelum ini pernah ditauliahkan sebagai Timbalan Presiden
Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi sesi 2014 hingga 2016, juga
pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi PBSM pada awal penglibatannya
dengan persatuan tersebut bagi sesi 2010 hingga 2012.
Bagaimanapun, beliau yang begitu aktif mengendalikan dan mengadakan
pelbagai program kemasyarakatan dan lainnya di sepanjang penglibatannya
sebagai pemimpin di PBSM cawangan Belait dan juga pusat, semalam, telah
mengambil keputusan untuk menarik diri daripada terus menjadi ahli PBSM
atas alasan peribadinya.
Chai Yum Fatt, turut menafikan sumber mengatakan bahawa beliau tidak
lagi berminat dalam projek kemasyarakatan kebelakangan ini, dengan
menjelaskan bahawa keputusan untuk berundur itu diambil sebab kesibukan
perniagaan yang dijalankannya dan juga perkara membabitkan urusan Pusat
Pembekal Satu Hentian yang dijangka akan mula beroperasi tidak lama lagi
di kawasan Pertanian Betumpu, Kampung Bengkurong Masin, Daerah Brunei
dan Muara.
“Saya tidak akan dapat lari daripada membantu masyarakat yang
memerlukan, kerana sejarah hidup saya juga pada awalnya pernah hidup
susah, dan saya memahami keadaan mereka yang memerlukan bantuan.
“Selain membantu masyarakat, saya juga berhasrat untuk terus
memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam membantu peladang
tempatan,” ujar beliau yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam
bidang pertanian dan tidak pelas mengalami ‘rebah bangun’ dalam
perusahaannya.
Beliau juga memberitahu, dalam sedikit masa lagi, beliau akan
memulakan semula aktiviti program kemasyarakatannya dan akan menemui
jabatan-jabatan yang pernah memberikan kerjasama kepadanya sebelum ini.
“Saya akan mengadakan aktiviti-aktiviti amal yang boleh membantu
kalangan warga emas, kanak-kanak istimewa, anak-anak yatim serta
masyarakat memerlukan, semoga syarikat saya akan terus berkembang dan
saya akan dapat terus memberikan khidmat kemasyarakatan kepada mereka
yang memerlukan,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan bersama Media
Permata.
Sepanjang berada dalam PBSM, Chai Yum Fatt, banyak melibatkan diri
menggerakkan ahli-ahli jawatankuasa yang lain untuk sentiasa turun
padang memberikan kerjasama dengan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan
Seria dalam Projek Penghijauan malah beliau juga menghulurkan sumbangan
menaja baja-baja dan racun-racun serangga dalam projek tersebut.
Selain itu, beliau juga aktif turun padang bersama Jabatan
Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Daerah Belait bagi membuat penyelidikan
mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan serta mengendalikan
aktiviti-aktiviti bersama JAPEM dalam memeduli kalangan warga emas.
Chai Yum Fatt (kiri) pernah bekerjasama rapat dengan JAPEM dalam program membantu golongan warga emas di Daerah Belait.
Tidak ketinggalan, beliau juga memberikan sokongan dalam pengendalian
Program Latihan Pertolongan Cemas dan pernah terlibat bekerjasama
dengan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait dan juga Jabatan Daerah
serta Jabatan Pertanian dan lain-lain.
- Media Permata Online. 23 April 2016.
[Pihak blogger dengan penuh tulus ikhlas merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih di atas keterlibatan Tuan Chai Yum Fatt secara aktif di dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam khususnya dalam Cawangan Daerah Belait. Pihak blogger juga mengucapkan selamat maju jaya di dalam apa jua bidang kepada Tuan Chai Yum Fatt]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan