Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
DENGAN memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan di atas izin serta limpah kurnia rahmat dan hidayah-Nya jua kita dapat berkumpul pada petang awal bulan Syaaban ini di Majlis Perhimpunan Agung Kebangsaan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Sedunia. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat dan pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Alhamdulillah, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam kini telah pun mencecah usia 68 tahun penubuhannya. Sejarah awalnya bermula di tahun 1948 dengan Cawangan Palang Merah British.
Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam ditubuhkan dengan matlamat utama untuk mengujudkan sebuah badan pergerakan kemanusiaan yang bertaraf antarabangsa tanpa perbezaan politik, bangsa, agama dan bersesuaian dengan tujuh prinsip asas fundamental yang diamalkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.
Penubuhan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam juga sejajar dengan penandatanganan empat konvensyen Geneva pada 12 Ogos 1949 bersama dengan protokol 1 dan 2 pada bulan Jun 1972 dan seterusnya protokol-protokol tambahan lainnya.
Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam dengan sendirinya menjadi auxiliary kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah pergerakan kemanusiaan yang memberikan perkhidmatan sukarela sesuai dengan piagam antarabangsa dan yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.Saya difahamkan bahawa pada setiap 8 Mei setiap tahun, Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa merayakan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia. Makanya Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Perhimpunan Agung pada hari ini bertepatan tarikh bersukut baik itu. Pada tahun ini tema yang dipilih ialah 'Everywhere for Everyone' atau 'Di Mana Saja untuk Sesiapa Jua'.
Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang dianggotai oleh 190 buah negara di seluruh dunia, Negara Brunei Darussalam adalah ahlinya yang ke-170. Dengan keahlian hampir 17 juta sukarelawan ia telah berjaya menjadi sebuah pergerakan kemanusiaan yang besar dan mampan. Penglibatan kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukan secara sukarela sama ada dalam menghadapi suasana peperangan, bencana alam, kemelut perang saudara dan pelbagai isu lain telah berjaya menjadikannya sebuah organisasi yang penting.Seperti maklumat yang saya terima, saya amat bangga dengan perkembangan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.
Dalam usianya yang kini 68 tahun, persatuan ini telah pun berjaya khususnya dalam mengharungi era transformasi kepimpinannya. Warga belia pada hari ini telah diberi kesempatan dan kepercayaan menjadi pemimpin utama dalam barisan Lembaga Eksekutif Kebangsaan dan ini adalah satu kemajuan dalam usaha mendekatkan jurang kepimpinan generasi masa lalu dengan generasi masa depan. Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah menyedari warga belia adalah generasi yang bakal menyambung ke depan pergerakan kemanusiaan yang menjadi paksi utama kepada organisasi Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.
Sehubungan dengan evolusi terkini ini, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam perlu terus peka terhadap cabaran dalam kepimpinan dan cabaran untuk terus meningkatkan keupayaan kapasiti ahli-ahlinya dalam memastikan objektif penubuhan persatuan ini akan tetap terus relevan dan mampu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada bangsa dan negara.
Dalam era ekonomi dunia yang dihambat oleh pelbagai cabaran ini, seperti juga pergerakan atau persatuan yang lain, ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam perlu lebih proaktif dalam memastikan keupayaan peningkatan diri sendiri terutama sekali dalam mencari jalan untuk menjana pendapatan sebagai pemangkin dana untuk membiayai kegiatan dan aktiviti serta urus tadbir organisasi.
Di Brunei Darussalam, Persatuan Bulan Sabit Merah cukup sinonim dengan Perkhidmatan Pertolongan Cemas. Program-program latihan pertolongan cemas merupakan salah satu peluang yang boleh dikomersialkan sebagai produk menjana dana.
Dengan penubuhan Akademi Pertolongan Cemas Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam pada tahun lalu, saya difahamkan bahawa akademi ini telah pun mendapat pengiktirafan daripada Internatioanl Federation of Red Cross and Red Crescent Society dan sekali gus akademi ini juga telah diberikan pengiktirafan antarabangsa untuk mengeluarkan sijil-sijil pertolongan cemas.
Saya juga dimaklumkan bahawa Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam telah pun bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan di negara ini dalam hubung kait penyediaan program-program pertolongan cemas yang lebih komprehensif dan bersesuaian dengan modul kebangsaan. Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan Perkhidmatan Pertolongan Cemas ataupun First Aid Services.
Selain dari itu, saya dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga maklum dan memberikan penghargaan di atas keterlibatan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam dalam kerja-kerja Pengurusan Bencana di Peringkat Kebangsaan. Malah persatuan ini juga aktif dalam memeduli warga masyarakat yang kurang berkemampuan dengan mengungkayahkan projek-projek amal dan kemanusiaan dari semasa ke semasa.
Kepada semua warga Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam saya penuh berharap supaya akan terus komited dalam memberikan Perkhidmatan Pertolongan Cemas sebagai wadah fundamental kepada pergerakan kemanusiaan yang sudah sebati dalam diri semua semenjak 68 tahun yang lalu.
Saya sukacita menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Ahli Lembaga Eksekutif Kebangsaan yang baharu dilantik yang akan menerajui kepimpinan organisasi sehingga satu masa yang telah ditetapkan dan insyaaAllah akan dapat terus membawa persatuan ketahap yang lebih membanggakan dan berjaya.
Tahniah dan penghargaan juga kepada seluruh warga Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam di atas Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia yang dirayakan pada hari ini semoga tema 'Di Mana Saja untuk Sesiapa Jua' akan tetap menjadi pemangkin kepada usaha memberdayamajukan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam menepati objektif penubuhannya.
Pada akhirnya, saya juga mengucapkan sangat berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam kerana memberikan saya kesempatan istimewa hadir dan menjadi sebahagian dari abiskita di perhimpunan yang signifikan dan bersejarah ini.
Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.
- Pelita Brunei. 14 Mei 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan