Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Golongan belia pada masa ini, tidak hanya menjadi penerima usaha pembangunan tetapi mereka juga mempunyai potensi untuk bertindak secara positif kepada cabaran hidup dan menjadi ejen perubahan atau transformasi yang positif.
Dalam hubungan itu, dengan memahami dan mempraktikkan tujuh prinsip asas utama pergerakan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) iaitu kemanusiaan, kesaksamaan, berkecuali, kebebasan, perkhidmatan sukarela, perpaduan dan kesejagatan, ia akan dapat memberi kesan dan inspirasi kepada mereka untuk merubah minda serta tingkah laku mereka menjadi seorang yang mempunyai budaya yang menolak dan menidakkan keganasan malah cintakan keamanan.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden (Antarabangsa) Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Suhaimi bin Haji Ibrahim ketika berucap pada Seminar Belia Bulan Sabit Merah Kebangsaan Sempena Hari Belia Antarabangsa 2016 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
“Saya begitu yakin, jika belia Persatuan Bulan Sabit Merah mengamalkan dan mendisiplinkan diri serta menjadikan tujuh Prinsip Asas ini sebagai sifat, cara hidup dan keperibadian diri, belia tersebut boleh menjadi seorang pemimpin yang hebat, berkualiti dan berjaya.”
Dalam hubungan itu juga, beliau menyeru supaya para belia terus berusaha untuk memahami, mendalami dan mempraktikkan mengenai kepentingan tujuh Prinsip Asas tersebut sebagai salah satu cara untuk memperbaiki diri dan untuk menjadi seorang belia yang mempunyai kemahiran di dalam menyumbang serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara untuk mencapai matlamat Wawasan 2035.
Seminar sehari yang membawa tema ‘Memperkasa belia BDRC sebagai pemimpin masa hadapan’ itu disertai oleh ahli-ahli belia PBSM Negara Brunei Darussalam, di mana seminar itu diadakan bersempena dengan Hari Belia Antarabangsa 2016.
Ia mengetengahkan sesi ceramah dengan tumpuan kepada memperkasakan belia menerusi amalan tujuh Prinsip Asas utama, belia dan perubahan iklim, peranan belia dalam pemberian pertolongan kecemasan dan belia dengan media sosial.
- Media Permata. 13 Ogos 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan