Waktu Bandar Utama

Khamis, 17 Ogos 2017

Bukan milik PBSMNBD

 Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSMNBD) memberikan penjelasan bahawa bangunan yang diceroboh tiga orang yang telah dijatuhkan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan adalah bekas penempatan ibu pejabat persatuan itu.

Bangunan di Jalan Tasek Lama itu bukan milik PBSMNBD dan bangunan berkenaan telah pun dikosongkan sejak beberapa tahun yang lalu disebabkan keadaan struktur bangunan yang sudah tidak selamat dan sesuai diguna pakai sebagai Ibu Pejabat PBSMNBD.

Penjelasan itu dibuat menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh PBSMNBD, di sini, hari ini, bagi memperjelaskan keadaan sebenar untuk menggelakkan orang ramai tidak keliru mengenai berita mengenai hukuman denda berkenaan serta komen-komen yang ditulis menerusi laman media sosial berhubung perkara berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, bangunan berkenaan telah pun diserahkan semula kepada pihak yang berkuasa dan yang bertanggungjawab ke atas bangunan berkenaan.

“Hampir lima tahun bangunan tersebut dikosongkan dan di luar tanggungjawab PBSMNBD. Walaupun dari semasa ke semasa PBSMNBD masih mengadakan perundingan dengan pihak-pihak yang berkuasa di negara ini untuk kerja-kerja membaik pulih dan sebagainya.”

PBSMNBD dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa ia maklum akan isu dan masalah pecah masuk dan ceroboh yang dilakukan semenjak lima tahun yang lalu.

Aduan-aduan orang ramai terhadap bangunan itu yang ditakuti digunakan untuk perkara-perkara yang tidak baik dan menimbulkan gejala-gejala sosial di mana aduan serta rintihan juga diterima daripada jiran-jiran yang tinggal di sekeliling bangunan berkenaan dan perkara itu dimaklumi bersama.

Aduan-aduan orang ramai terhadap isu pecah masuk dan ceroboh juga dibuat kepada pihak-pihak berkuasa seperti Pasukan Polis Diraja Brunei dan pihak PBSMNBD juga mengambil maklum bahawa pihak yang bertanggungjawab ke atas bangunan berkenaan juga telah mengambil tindakan susulan dan aduan berhubungan dengan isu pecah masuk dan ceroboh itu.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan yang dibuat adalah bagi menggelakkan bangunan itu digunakan untuk perkara-perkara yang menyalahi undang-undang.

Dalam masa yang sama, persatuan mengambil inisiatif dan berusaha untuk mengadakan lawatan dan perbincangan bersemuka dengan mereka yang disyaki menceroboh dan mendiami bangunan itu dan mencadangkan kepada mereka untuk memohon bantuan daripada agensi-agensi yang berkenaan dan mengaturkan perbincangan bersama agensi-agensi berkenaan.

Walau bagaimanapun, PBSMNBD tidak pernah menghalau dan mengusir mereka tanpa ihsan.

PBSMNBD juga telah menasihatkan supaya mereka berpindah atas faktor keselamatan. Mereka juga dimaklumkan tentang aduan-aduan yang diterima terhadap mereka dan akan memungkinkan pihak-pihak berkuasa melakukan tindakan. Mereka juga telah mengambil maklum tentang risiko tersebut.

Sehubungan dengan itu, PBSMNBD memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. Sebagai sebuah organisasi dan pergerakan kemanusiaan yang berkanun di negara ini, persatuan tidak akan melakukan tindakan-tindakan di luar daripada prinsip asas pertubuhan. Isu dan masalah tangkapan dan denda yang dikenakan adalah atas kebijaksanaan pihak-pihak berkuasa mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“Oleh demikian besarlah harapan PBSMNBD memohon kepada orang ramai yang telah menulis dan melontarkan komen-komen yang tidak usul periksa dan tidak berasas sama sekali dan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang ramai serta spekulasi yang mencemarkan nama baik PBSMNBD supaya akan dapat menghapuskan komen tersebut dari laman sesawang Facebook, Berita Brunei.”

Pihak persatuan tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan susulan dan tindakan undang-undang kepada sesiapa jua yang menulis komen-komen yang berunsurkan fitnah sekali gus akan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang ramai terhadap PBSMNBD.

- Media Permata Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan