BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 Mei. - Dalam usaha untuk memaparkan tatacara memberi pertolongan cemas serta tindakan semasa berlakunya kecemasan atau bencana bagi memudahkan dalam memberikan pertolongan cemas, Persatuan Bulan Sabit Merah telah mengenalkan perkhidmatan Aplikasi Pertolongan Cemas.
Hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan pelancaran aplikasi tersebut yang boleh dimuat turun oleh pengguna ios dan android ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.
Pada majlis yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jalan Menteri Besar di sini juga menyaksikan pelancaran serta penyampaian poster dan poskad keselamatan jalan raya sebagai sebahagian kerjasama padu berterusan Persatuan Bulan Sabit Merah dengan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya, dalam sama-sama meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan jalan raya dan bagaimana menjadi pengguna jalan raya yang bijak, berhemah dan bertanggungjawab yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Yang Berhormat yang juga merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) menghargai penglibatan antara pihak NGOs, swasta dan kerajaan sebegini lebih-lebih lagi dalam perkembangan era digital masa kini, khususnya Industrial Revolution (IR) 4.0. di mana ekspektasi orang ramai sangat tinggi untuk mendapatkan maklumat secara cepat dan tepat.
Tambah Yang Berhormat, lahirnya aplikasi pertolongan cemas seumpama ini, sudah pasti memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat penting mengenai teknik dan tatacara memberi bantuan semasa berlakunya kecemasan.
Terdahulu, Presiden Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim dalam kata-kata aluannya menyatakan, menerusi Akademi Persatuan Bulan Sabit Merah ia mengalu-alukan penglibatan sesiapa sahaja di peringkat komuniti untuk tampil mempelajari ilmu dan teknik sebagai seorang 'First Aider' yang dikendalikan secara percuma.
Pada majlis tersebut, turut disampaikan ialah ceramah mengenai Aplikasi Pertolongan Cemas yang disampaikan oleh Pegawai Kanan dari International Federation of the Red Cross & Red Crescent, Ms Grace Lo yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia.
Turut hadir, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Ketua Urusetia dan Ahli-ahli MKKJR; Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta agensi-agensi yang berkepentingan yang lain.
- Pelita Brunei. 04 Mei 2019.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan