Oleh : Haniza Abdul Latif
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Februari. - Penglibatan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam sejak tahun 2010 dalam aktiviti di rantau Asia Tenggara, telah meningkat termasuk menjadi penganjur bagi acara-acara serantau terutama dalam pembangunan persatuan dan kesiapsiagaan mengatasi bencana.
PBSM Negara Brunei Darussalam juga menjalankan pelbagai aktiviti dan program di peringkat kebangsaan yang tertumpu kepada memberikan perkhidmatan kepada masyarakat termasuk bantuan pertolongan cemas BRC pertama, pengukuhan sukarelawan, pengurusan bencana dan kesediaan.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menyatakan perkara tersebut semasa Perasmian Kolokium Bulan Sabit Antarabangsa dan Pergerakan Bulan Sabit Merah dan Asas Utama Perundangan Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) yang berlangsung di Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM Negara Brunei Darussalam, di sini.
Menurut Yang Berhormat, PBSM Negara Brunei Darussalam juga telah bekerja rapat dan berterusan bersama Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Negara Brunei Darussalam di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Sebagai rakan strategik NDMC jelasnya, PBSM Negara Brunei Darussalam telah mengambil bahagian dalam pelbagai inisiatif kebangsaan bersama NDMC seperti menyediakan bantuan dalam menerima dan mencatat rekod sumbangan awam kepada NDMC berikutan operasi Typhoon Haiyan di Filipina pada tahun 2013, menyediakan bantuan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) dalam kegiatan dan pemulihan banjir, dan baru-baru ini terlibat dalam aktiviti NDMC - Program Penyelaras Kesiapsiagaan Bencana (DPC) yang dianjurkan pada bulan Ogos tahun lepas.
Yang Berhormat seterusnya berharap, sebagai sebuah persatuan bukan kerajaan, PBSM Negara Brunei Darussalam akan memperkembangkan lagi keahliannya terutama dalam kalangan pelajar dan belia bagi meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman visi dan misi persatuan tersebut dalam membantu masyarakat.
Tambahnya, mengekalkan dan mengukuhkan lagi kesiapsiagaan, kapasiti dan keupayaan dalam tindak balas bencana adalah penting.
Oleh itu tekannya, kerjasama antara agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti adalah diperlukan.
Kolokium sehari itu merupakan pengenalan komprehensif pergerakan bulan sabit merah dan palang merah antarabangsa termasuk peranan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (International Committee of the Red Cross - ICRC); Penyelaras Pembangunan Persatuan Kebangsaan, Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (National Society Development Coordinator, International Federation of Red Cross and Red Crescent - IFRC) dan PBSM Negara Brunei Darussalam.
PBSM Negara Brunei Darussalam ditubuhkan dalam tahun 1991 dengan menyediakan bantuan kemanusiaan yang disertai sekitar 1,300 sukarelawan terdiri dari kalangan belia dan pelajar sekolah-sekolah menengah, institusi-institusi pengajian tinggi dan universiti tempatan termasuk sektor swasta dan awam.
- Pelita Brunei Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan