Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Februari. - Dalam usaha untuk meningkatkan pentadbiran yang lebih sempurna dan fokus, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam kini mempunyai Ibu Pejabat Kebangsaan yang baharu terletak di tingkat atas, Bangunan Pejabat Pos Bunut.
Hadir bagi menyempurnakan perasmian Akademi dan Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM yang baharu ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).
Dalam ucapan Presiden PBSM, Awang Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim menyatakan, Ibu Pejabat Kebangsaan ini akan dapat memberikan para ahli untuk merancang, melaksanakan serta merealisasikan hala tuju persatuan berkenaan.
Selain itu, ia juga dapat memastikan kualiti pembelajaran yang berkesan dan bersistematik dalam memenuhi permintaan serta permohonan kursus yang ditawarkan oleh Akademi berkenaan dan menjadi Pusat Akreditasi dan Pensijilan yang dipantau sepenuhnya oleh Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM.
Tambahnya, melalui pelan strategik PBSM 2020 - 2025 menyasarkan untuk melatih lebih banyak First Aider dan membudayakan aspek keselamatan sebagai keutamaan dalam masyarakat terutamanya bila berlakunya kecemasan.
Di antara kursus pertolongan cemas yang disediakan adalah Workplace Saftey & Health in First Aid, Basic Cardiac Life Support (CPR & AED), First Aid For Childcare, School Safe Program dan Community Base First Aid.
Dengan adanya Akademi Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, pensijilan yang dikeluarkan adalah mengikut piawaian antarabangsa yang diiktiraf secara global dan kini diguna pakai melalui kolaborasi bersama Syarikat Minyak Shell Sdn. Bhd., Brunei LNG Sdn. Bhd., Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dan Ashcore Sdn. Bhd.
Majlis pada pagi tadi turut menyaksikan satu penandatanganan persefahaman antara PBSM Negara Brunei Darussalam dan Bank Islam Brunei Berhad (BIBD) bagi kerjasama dua hala dalam bidang berkaitan program-program latihan pertolongan cemas dan keselamatan di tempat kerja, penyediaan kecemasan awam dan pelbagai inisiatif kemanusiaan yang lainnya.
- Pelita Brunei Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan