Waktu Bandar Utama

Khamis, 2 April 2020

Bulan Sabit Merah turun padang bendung COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya
Pada 11 Januari 2020, pihak berkuasa di China telah mengesahkan penemuan sejenis koronavirus yang belum pernah ditemui sebelum ini pada beberapa kes jangkitan tersebut.
Setakat 31 Mac 2020 lebih 700,000 kes telah dicatatkan di seluruh dunia dan telah merekodkan 38,000 kematian selain virus ini juga merebak ke 200 buah negara.
Melihat kepada kesan yang mendalam kepada beberapa buah negara yang berdepan dengan pandemik ini, Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali termasuk dalam senarai negara yang di landa wabak ini.
Dengan kesan yang memberi impak mendalam kepada beberapa aspek pembangunan dan ekonomi negara selain menjaga keselamatan rakyat dan penduduk negara ini, Kementerian Kesihatan bertindak pantas dan berusaha mengawal penularan wabak ini dengan melaksanakan beberapa arahan yang perlu dipatuhi oleh rakyat dan penduduk di negara ini.
Negara ini mula mengesan kes pertama jangkitan COVID-19 pada 9 Mac 2020 dan setakat 31 Mac 2020 sejumlah 129 Kes telah dicatatkan.

ATAS & BAWAH : Antara sukarelawan dari Persatuan Bulan Sabit Merah sama-sama berganding bahu membantu dalam negara berhadapan dengan pendemik Covid-19.


Sementara itu, dalam membantu Kementerian Kesihatan, warga kementerian dan barisan hadapan (frontliners), Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam sebagai auxiliary kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan dalam membantu Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam didalam menangani wabak COVID-19.
Persatuan berkenaan adalah sebuah agensi Badan Kemanusiaan yang terawal bersama-sama dengan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam telah dilantik oleh Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam untuk menjadi Badan Koordinasi Sukarelawan di bawah MOHEOC (Ministry of Health Emergency Operation Centre).
Ini dalam sama-sama menyelaras sukarelawan untuk ditempatkan bertugas di hospital-hospital kerajaan, pusat-pusat kesihatan dan pusat pengasingan kebangsaan di seluruh negara sebelum tugas tersebut telah diambil alih oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan pada 23 Mac lalu.
Peranan persatuan membendung Covid-19
Dalam menghadapi situasi penularan virus COVID-19 di negara ini, Bulan Sabit Merah sebagai barisan hadapan dalam membantu Kementerian Kesihatan di bawah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan dalam penyelarasan sukarelawan yang terlatih untuk ditempatkan di hospital-hospital dan pusat-pusat kesihatan yang dikenal pasti.
Bulan Sabit Merah yang mana anggotanya mempunyai kemahiran serta pengalaman dalam pertolongan cemas adalah satu kelebihan atau ‘value added’ kepada Sukarelawan BRC di dalam membantu Kementerian Kesihatan menangani wabak COVID-19 ini.
Dalam memberi khidmat sukarelawan menghadapi situasi ini, seramai 50 orang ahli sukarelawan terlatih dan berpengalaman dalam pengurusan bencana BRC yang terlibat di dalam membantu Kementerian Kesihatan.
Tugas yang diberikan
Dalam memberi khidmat membantu pihak berkenaan semasa menghadapi situasi ini, persatuan berkenaan membantu pihak berkenaan dengan menempatkan sukarelawan di Flu Desk Hospital RIPAS, Flu Desk Hospital PMMPHAMB, Pusat Pengasingan Kebangsaan & PKBN. Di samping bersama agensi-agensi kerajaan dalam pengurusan operasi penumpang-penumpang dan penuntut-penuntut yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Selain itu, ia juga menguruskan bahagian logistik barang-barang bantuan daripada orang ramai di Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.
Persatuan berkenaan juga menguruskan kenderaan bagi penghuni pusat pengasingan, pelajar dan ahli keluarga yang di dalam tempoh pengasingan untuk dibawa ke Swabbing Centre.
Ia juga menempatkan sukarelawan di dalam pengurusan Data Center di Pusat-Pusat Pengasingan Kebangsaan bekerjasama dengan Sukarelawan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).
Sebagai Badan Kemanusiaan yang berkanun dengan sukarelawan yang berpengalaman dan mahir dalam bidang pertolongan cemas, sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah sedia untuk di tempat di mana saja yang perlukan oleh Kementerian Kesihatan dalam menangani situasi wabak ini. Personal Protective Equipment (PPE) juga dibekalkan kepada setiap Sukarelawan BRC di dalam memastikan keselamatan mereka yang bertugas.
Perkongsian pengalaman
Antara cabaran yang dihadapi oleh BRC ialah kemungkinan semua suka-relawan yang bertugas dan berkhidmat di barisan depan terdedah kepada virus tersebut dan risiko adalah faktor utama.
Namun ia turut memastikan keselamatan para sukarelawan, dengan menggalakkan mereka untuk sentiasa menjaga kebersihan dan berwaspada serta berhati-hati dalam menangani apa jua tugasan yang menjadi keutamaan.
- Media Permata Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan