Oleh: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto: Ihsan Persatuan Bulan Sabit Merah
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 April. - Projek Ikhlas 12.0, Menyulam Kasih Ramadan anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam akan diadakan pada 19 April 2020 ini.
Sehubungan itu, pihak persatuan berharap orang ramai yang berkesudian untuk tampil dalam sama-sama menghulurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak, gula, makanan ringan, malah mereka juga menerima baucar barangan dari pasar raya.
Presiden persatuan, Awang Haji Muhammad Suhaimi Haji Ibrahim ketika ditemu bual menjelaskan, orang ramai yang hendak menyumbangkan derma barangan tersebut bolehlah datang menyerahkan secara pandu lalu (drive-thru) di Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam di Kawasan Letak Kereta, Pejabat Pos Bunut iaitu di belakang Stesen Minyak Shell Bunut. Penyerahan tersebut katanya, akan bermula dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.
PRESIDEN persatuan bulan sabit merah NBD, Awang Haji Muhammad Suhaimi Haji Ibrahim semasa ditemui Pelita Brunei.
Mengulas tujuan projek tersebut, beliau menjelaskan bahawa barang-barangan yang diterima itu nanti akan disumbangkan kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan di negara ini termasuk golongan asnaf fakir miskin, asnaf mualaf daif, warga emas yang bersendirian serta orang yang berkeperluan khas. Selain itu, sumbangan turut disedekahkan kepada keluarga-keluarga pesakit COVID-19 yang sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.
Beliau seterusnya berkata bahawa sumbangan ini diselenggarakan bagi sama-sama menyambut kedatangan bulan suci Ramadan yang akan menjelma tidak lama lagi. Tambahnya, inisiatif yang disokong oleh para sukarelawan persatuan ini, diharap akan dapat membantu pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menangani isu kemaslahatan asnaf fakir miskin dan mereka yang memerlukan.
Persatuan ini memang aktif dalam mengungkayahkan tiga hingga empat projek ikhlas, di antaranya Projek Ikhlas Kembali ke Sekolah pada setiap bulan Disember, Projek Ikhlas Menyulam Kasih Ramadan yang diadakan setiap bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Manakala Projek Ikhlas Khusus diselenggarakan jika ada musibah seperti banjir kilat, kebakaran rumah dan bencana-bencana alam yang lain.
Menerusi Projek Ikhlas ini juga, pihak persatuan juga berupaya menyediakan BRC Food Aid bertujuan menyediakan bantuan makanan asasi pada bila-bila masa diperlukan oleh masyarakat yang memerlukan tidak kira siapa dan dalam keadaan apa sekalipun.
Manakala School Aid juga disediakan untuk membantu kanak-kanak terutama pelajar di pelbagai peringkat dari rendah ke institusi pengajian tinggi yang memerlukan peralatan persekolahan.
"Seperti lazimnya, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam di keempat-empat cawangan daerah mempunyai daftar senarai nama penerima yang terdiri dari golongan asnaf fakir miskin dan asnaf mualaf dan yang berkeperluan. Walau bagaimanapun dari semasa ke semasa menerusi Food Aid boleh diagihkan kepada mereka yang memerlukan,'' katanya lagi.
Selaku sebuah masyarakat yang prihatin, kita digalakkan untuk sama-sama menyokong serta menghulurkan sumbangan demi kebajikan mereka yang memerlukan kerana tangan yang memberi itu adalah lebih baik apatah lagi dengan kedatangan bulan Ramadan ini, segala usaha dan sumbangan akan diberikan rahmat dengan pahala yang berlipat ganda.
- Pelita Brunei Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan