Waktu Bandar Utama

Isnin, 13 Januari 2014

PBSM perlu tingkatkan kaedah pengurusan

Oleh:  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman




MESYUARAT Agung Persatuan Bulan Sabit Merah, Cawangan Daerah Brunei dan Muara kali kedua berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. (Foto: Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)

BERAKAS, Ahad, 8 September. – Pemimpin-pemimpin Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di negara ini  diingatkan supaya sentiasa  muhasabah diri dan  organisasi masing-masing dengan memberikan analisis kritikal kepada dua perkara.

Sekretari Jeneral PBSM, Awang Haji Julaini bin Haji Abd. Latip berkata  pertama  ialah sejauh mana para pemimpin menguruskan sukarelawan-sukarelawan dalam hubungan kerja-kerja kemanusiaan dan keduanya, sejauh mana ahli-ahli memaksimakan kekuatan dalam semua aspek kerja-kerja kemanusiaan.

“Kedua-dua isu ini sangat ‘crucial’ bagi setiap pemimpin untuk memahaminya kerana ia adalah isu kritikal kepimpinan yang mesti diberikan perhatian yang serius bagi kesinambungan ‘sustainability’ dan ‘visibility’ kewujudan PBSM,” jelas Awang Haji Julaini  pada Pembukaan Mesyuarat Agung PBSM, Cawangan Daerah Brunei dan Muara kali kedua berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di sini, hari ini.

Beliau yang menjadi tetamu kehormat majlis  menekankan kepada semua pemimpin PBSM supaya akan lebih peka dengan kaedah pengurusan yang digunakan oleh Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) dalam setiap perancangan dan pelaksanaan sesuatu program, projek mahupun kegiatan-kegiatan dengan kaedah pendekatan ‘P – Perancangan (Planning), M- Memantau (Monitor), E- Evaluasi (Evaluate), R- Repot (Report) - P.M.E.R Approach’.

Jika kaedah berkenaan sentiasa dijadikan sebagai kaedah pengurusan ia  memberikan jaminan kualiti, standard dan konsisten dalam semua aspek pengurusan atau aktiviti yang diungkayahkan.

“Hanya dengan ‘P.M.E.R Approach’ kita akan dapat memperbaiki lagi kualiti, kekurangan dan akan menjadi nilai tambah yang sangat berguna kepada pengurusan seterusnya,” jelas Awg Haji Julaini.

Para ahli Mesyuarat   telah mengesahkan  pembubaran dan pelantikan baru Jawatankuasa Eksekutif bagi Tahun Pentadbiran 2013-2015.


MESYUARAT Agung Persatuan Bulan Sabit Merah, Cawangan Daerah Brunei dan Muara dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah PBSM, Cawangan Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohd Rosdi bin Haji Ruslan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai serta sukarelawan-sukarelawan PBSM cawangan Daerah Brunei dan Muara.
(Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)

Pengerusi PBSM Cawangan Daerah Brunei dan Muara yang baru dilantik bagi tahun 2013-2015 ialah Sheikh Haji Abdul Kadir bin Abdullah sementara Timbalan Pengerusi pula dipegang oleh Awang Haji Morni bin Haji Awang Damit.

Selain itu, mesyuarat juga mendengarkan beberapa laporan mengenai kewangan dan aktiviti-aktiviti yang disertai dan panggilan bertugas sepanjang tahun 2012.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah PBSM, Cawangan Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohd. Rosdi bin Haji Ruslan itu juga dihadiri oleh pegawai-pegawai serta sukarelawan-sukarelawan PBSM Cawangan Daerah Brunei dan Muara.

Sehubungan itu, pihak-pihak yang ingin memohon bagi bantuan medik bolehlah menulis persuratan dan menghantarnya ke Pejabat PBSM di Bilik No. 8 Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

- Pelita Brunei Online - Isnin, 9 September 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan