Waktu Bandar Utama

Isnin, 5 Jun 2017

65 ahli PBSM tamat Kem Henry Dunant 2017

Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 April – Seramai 65 orang ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan kadet-kadet sekolah dan jawatankuasa kerja yang dilantik telah berjaya mengakhiri Kem Henry Dunant 2017, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis penutup perkhemahan yang diadakan di Perkampungan Sukan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, itu ialah Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.
Antara kandungan perkhemahan itu termasuk mengajar para peserta mengenai pertolongan cemas, perubahan cuaca dan latihan halangan ala ketenteraan bagi merebut Lencana Henry Dunant yang diiktiraf oleh IFRC yang berpangkalan di Geneva, Switzerland.
Pada majlis penutup itu seramai 15 orang ahli juga menerima Lencana Sukarelawan Hardt dan Lencana Junior First Aid kepada 15 orang ahli termasuk tiga orang ahli jawatankuasa.
Datin Hajah Siti Hajar ketika menyerahkan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta.

Antara ahli PBSM yang hadir pada majlis tersebut.

- Media Permata. Isnin, 03 April 2017M.

Mempromosi kegiatan sihat dalam PBSM

Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Activfitness Studio, kelmarin, telah mengadakan Mass Aerobik Humanitarian 68 Minit di Pusat Belia, di sini.
Hadir mengikuti acara aerobik beramai-ramai tersebut ialah Presiden PBSM, Haji Ismail bin Haji Kassim bersama para pegawai dan ahli-ahli persatuan berkenaan.
Program ini juga dihadiri oleh ahli-ahli lembaga eksekutif kebangsaan, kadet-kadet sekolah dan sukarelawan dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum berserta orang ramai.
Aktiviti berkenaan merupakan acara riadah bagi ahli-ahli PBSM untuk bersenam serta mempromosikan kesihatan kepada ahli-ahlinya di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
Ia antara lain bertujuan untuk mengumpulkan dana persatuan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Antara yang hadir mengikuti senaman aerobik di Pusat Belia, kelmarin.

- Media Permata. Rabu, 15 Mac 2017.

Isnin, 8 Mei 2017

Memahami prinsip asas IFRC

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Golongan belia pada masa ini, tidak hanya menjadi penerima usaha pembangunan tetapi mereka juga mempunyai potensi untuk bertindak secara positif kepada cabaran hidup dan menjadi ejen perubahan atau transformasi yang positif.
Dalam hubungan itu, dengan memahami dan mempraktikkan tujuh prinsip asas utama pergerakan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) iaitu kemanusiaan, kesaksamaan, berkecuali, kebebasan, perkhidmatan sukarela, perpaduan dan kesejagatan, ia akan dapat memberi kesan dan inspirasi kepada mereka untuk merubah minda serta tingkah laku mereka menjadi seorang yang mempunyai budaya yang menolak dan menidakkan keganasan malah cintakan keamanan.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden (Antarabangsa) Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Suhaimi bin Haji Ibrahim ketika berucap pada Seminar Belia Bulan Sabit Merah Kebangsaan Sempena Hari Belia Antarabangsa 2016 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
“Saya begitu yakin, jika belia Persatuan Bulan Sabit Merah mengamalkan dan mendisiplinkan diri serta menjadikan tujuh Prinsip Asas ini sebagai sifat, cara hidup dan keperibadian diri, belia tersebut boleh menjadi seorang pemimpin yang hebat, berkualiti dan berjaya.”
Seminar Belia Bulan Sabit Merah Kebangsaan bersempena Hari Belia Antarabangsa 2016 yang berlangsung kelmarin.
Dalam hubungan itu juga, beliau menyeru supaya para belia terus berusaha untuk memahami, mendalami dan mempraktikkan mengenai kepentingan tujuh Prinsip Asas tersebut sebagai salah satu cara untuk memperbaiki diri dan untuk menjadi seorang belia yang mempunyai kemahiran di dalam menyumbang serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara untuk mencapai matlamat Wawasan 2035.
Seminar sehari yang membawa tema ‘Memperkasa belia BDRC sebagai pemimpin masa hadapan’ itu disertai oleh ahli-ahli belia PBSM Negara Brunei Darussalam, di mana seminar itu diadakan bersempena dengan Hari Belia Antarabangsa 2016.
Ia mengetengahkan sesi ceramah dengan tumpuan kepada memperkasakan belia menerusi amalan tujuh Prinsip Asas utama, belia dan perubahan iklim, peranan belia dalam pemberian pertolongan kecemasan dan belia dengan media sosial.
- Media Permata. 13 Ogos 2016.

Belia generasi penyambung pergerakan kemanusiaan

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

DENGAN memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan di atas izin serta limpah kurnia rahmat dan hidayah-Nya jua kita dapat berkumpul pada petang awal bulan Syaaban ini di Majlis Perhimpunan Agung Kebangsaan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Sedunia. Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat dan pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Alhamdulillah, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam kini telah pun mencecah usia 68 tahun penubuhannya. Sejarah awalnya bermula di tahun 1948 dengan Cawangan Palang Merah British.

Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam ditubuhkan dengan matlamat utama untuk mengujudkan sebuah badan pergerakan kemanusiaan yang bertaraf antarabangsa tanpa perbezaan politik, bangsa, agama dan bersesuaian dengan tujuh prinsip asas fundamental yang diamalkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.

Penubuhan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam juga sejajar dengan penandatanganan empat konvensyen Geneva pada 12 Ogos 1949 bersama dengan protokol 1 dan 2 pada bulan Jun 1972 dan seterusnya protokol-protokol tambahan lainnya.

Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam dengan sendirinya menjadi auxiliary kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah pergerakan kemanusiaan yang memberikan perkhidmatan sukarela sesuai dengan piagam antarabangsa dan yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.Saya difahamkan bahawa pada setiap 8 Mei setiap tahun, Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa merayakan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia. Makanya Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Perhimpunan Agung pada hari ini bertepatan tarikh bersukut baik itu. Pada tahun ini tema yang dipilih ialah 'Everywhere for Everyone' atau 'Di Mana Saja untuk Sesiapa Jua'.

Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang dianggotai oleh 190 buah negara di seluruh dunia, Negara Brunei Darussalam adalah ahlinya yang ke-170. Dengan keahlian hampir 17 juta sukarelawan ia telah berjaya menjadi sebuah pergerakan kemanusiaan yang besar dan mampan. Penglibatan kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukan secara sukarela sama ada dalam menghadapi suasana peperangan, bencana alam, kemelut perang saudara dan pelbagai isu lain telah berjaya menjadikannya sebuah organisasi yang penting.Seperti maklumat yang saya terima, saya amat bangga dengan perkembangan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.

Dalam usianya yang kini 68 tahun, persatuan ini telah pun berjaya khususnya dalam mengharungi era transformasi kepimpinannya. Warga belia pada hari ini telah diberi kesempatan dan kepercayaan menjadi pemimpin utama dalam barisan Lembaga Eksekutif Kebangsaan dan ini adalah satu kemajuan dalam usaha mendekatkan jurang kepimpinan generasi masa lalu dengan generasi masa depan. Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah menyedari warga belia adalah generasi yang bakal menyambung ke depan pergerakan kemanusiaan yang menjadi paksi utama kepada organisasi Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.

Sehubungan dengan evolusi terkini ini, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam perlu terus peka terhadap cabaran dalam kepimpinan dan cabaran untuk terus meningkatkan keupayaan kapasiti ahli-ahlinya dalam memastikan objektif penubuhan persatuan ini akan tetap terus relevan dan mampu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada bangsa dan negara.

Dalam era ekonomi dunia yang dihambat oleh pelbagai cabaran ini, seperti juga pergerakan atau persatuan yang lain, ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam perlu lebih proaktif dalam memastikan keupayaan peningkatan diri sendiri terutama sekali dalam mencari jalan untuk menjana pendapatan sebagai pemangkin dana untuk membiayai kegiatan dan aktiviti serta urus tadbir organisasi.

Di Brunei Darussalam, Persatuan Bulan Sabit Merah cukup sinonim dengan Perkhidmatan Pertolongan Cemas. Program-program latihan pertolongan cemas merupakan salah satu peluang yang boleh dikomersialkan sebagai produk menjana dana.

Dengan penubuhan Akademi Pertolongan Cemas Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam pada tahun lalu, saya difahamkan bahawa akademi ini telah pun mendapat pengiktirafan daripada Internatioanl Federation of Red Cross and Red Crescent Society dan sekali gus akademi ini juga telah diberikan pengiktirafan antarabangsa untuk mengeluarkan sijil-sijil pertolongan cemas.

Saya juga dimaklumkan bahawa Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam telah pun bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan di negara ini dalam hubung kait penyediaan program-program pertolongan cemas yang lebih komprehensif dan bersesuaian dengan modul kebangsaan. Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan Perkhidmatan Pertolongan Cemas ataupun First Aid Services.

Selain dari itu, saya dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga maklum dan memberikan penghargaan di atas keterlibatan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam dalam kerja-kerja Pengurusan Bencana di Peringkat Kebangsaan. Malah persatuan ini juga aktif dalam memeduli warga masyarakat yang kurang berkemampuan dengan mengungkayahkan projek-projek amal dan kemanusiaan dari semasa ke semasa.

Kepada semua warga Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam saya penuh berharap supaya akan terus komited dalam memberikan Perkhidmatan Pertolongan Cemas sebagai wadah fundamental kepada pergerakan kemanusiaan yang sudah sebati dalam diri semua semenjak 68 tahun yang lalu.

Saya sukacita menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Ahli Lembaga Eksekutif Kebangsaan yang baharu dilantik yang akan menerajui kepimpinan organisasi sehingga satu masa yang telah ditetapkan dan insyaaAllah akan dapat terus membawa persatuan ketahap yang lebih membanggakan dan berjaya.

Tahniah dan penghargaan juga kepada seluruh warga Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam di atas Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia yang dirayakan pada hari ini semoga tema 'Di Mana Saja untuk Sesiapa Jua' akan tetap menjadi pemangkin kepada usaha memberdayamajukan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam menepati objektif penubuhannya.

Pada akhirnya, saya juga mengucapkan sangat berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam kerana memberikan saya kesempatan istimewa hadir dan menjadi sebahagian dari abiskita di perhimpunan yang signifikan dan bersejarah ini.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.

- Pelita Brunei. 14 Mei 2016.

Anak damit diraikan sempena ulang tahun penubuhan PBSM

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 9 Mei – Bersempena Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia dan Ulang Tahun Penubuhan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam ke-68 tahun, PBSM cawangan Daerah Tutong telah meraikan seorang anak damit lelaki yang baru dilahirkan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, pagi tadi.
Anak damit lelaki seberat 3.095kg berkenaan telah selamat dilahirkan pada jam 1:57 petang kelmarin, yang mana pada setiap 8 Mei merupakan sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia sekaligus merupakan sambutan Ulang Tahun Penubuhan PBSM ke-68.
Anak damit lelaki berkenaan merupakan anak kedua kepada pasangan warganegara Indonesia yang tinggal di Kampung Kupang iaitu Abdul Malik bin Ismail dan Nurhayati binti Marjo Adi Sudarmo.
Hadir menyampaikan cenderahati penghargaan kepada anak damit berkenaan ialah isteri Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Hajah Rusmah binti Haji Muksin.
Hajah Rusmah menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada anak damit yang baru dilahirkan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Daerah PBSM cawangan Daerah Tutong, Awang Mohd Isa bin Johari.
Menurut Awang Mohd Isa ketika ditemubual, penyampaian cenderahati berupa sijil penghargaan dan hamper barangan anak damit itu adalah sebagai mengingati Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia dan Ulang Tahun Penubuhan PBSM Brunei Darussalam.
Dengan bertemakan “Every-where for Everyone”, majlis tersebut merupakan kali pertama diadakan di negara ini dan pada tahun ini, seramai 16 orang anak damit telah dicatatkan dan diraikan di hospital masing-masing.
- Media Permata. 10 Mei 2016.

Isnin, 10 April 2017

Projek Ikhlas 4.0 serlah keprihatinan

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Dis – Keprihatinan orang ramai dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran, baru-baru ini, jelas dilihat menerusi Projek Ikhlas 4.0 anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di mana sumbangan dihulurkan tanpa henti sepanjang projek itu berlangsung.
Sehubungan dengan itu, majlis penyampaian sumbangan kepada 13 buah keluarga yang terbabit telah diadakan di perkarangan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, petang ini. Manakala itu, keluarga terbabit yang lain telah pun menerima sumbangan mereka kelmarin.
Hadir menyampaikan sumbangan kepada ketua keluarga yang ditimpa musibah kebakaran baru-baru ini ialah Setiausaha Agung PBSM, Sheikh Haji Abdul Kadir bin Abdullah.
Dalam temu bual bersama Pengarah Memperkasa Kedayatahanan Kemanusiaan Negara Brunei Darussalam, Haji Isham bin Haji Ismail menyatakan bahawa Projek Ikhlas 4.0 yang diadakan dari 9 Disember lalu hingga kelmarin itu berjaya mengumpulkan barangan keperluan harian untuk disampaikan keseluruhannya kepada mangsa kebakaran di Kampong Ayer yang berdaftar.
Antara barangan yang berjaya dikumpulkan oleh PBSM untuk dihulurkan kepada mangsa kebakaran.

Setiausaha Agung PBSM menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ketua keluarga mangsa kebakaran.
“Projek tiga hari ini jelas memperlihatkan keprihatinan rakyat di negara ini yang datang dari daripada pelbagai kaum sama-sama menghulurkan sumbangan bersama pihak-pihak syarikat swasta,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan, sebagai pihak tengah, PBSM telah menerima beberapa sumbangan berupa air, beras dan keperluan harian wanita dan kanak-kanak daripada pelbagai pihak.
“Kami hanya mengiklankannya dalam masa yang singkat namun mendapat sambutan daripada orang ramai yang amat memberangsangkan dan di luar jangkaan pasukan kami sendiri,” ujarnya.
PBSM akan terus mengadakan aktiviti bantuan secara berterusan dan telah mendapat persetujuan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan untuk Projek School Aids bagi membantu para pelajar sekolah yang terbabit dalam musibah kebakaran dan kurang berkemampuan dalam menyediakan keperluan barang sekolah sebelum musim persekolahan bermula.
- Media Permata. Dec 13, 2016.


Khamis, 1 Disember 2016

Pertolongan cemas untuk semua

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 23 Sept – Dalam usaha memberigakan pentingnya pengetahuan pertolongan cemas kepada masyarakat supaya dapat dijadikan sebagai keutamaan dalam menyelamat nyawa, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam telah memilih tema Pertolongan Cemas Untuk Semua dan Di Mana Sahaja bagi Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia.
Pelancaran sambutan berkenaan telah diadakan di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) di sini, hari ini, di mana hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pelancaran ialah Ketua Pegawai Perubatan di Pusat Kesihatan Panaga, Dr. Ahmad Fakhri bin Haji Junaidi.
Majlis yang dianjurkan bersama PBSM Daerah Belait dan Persatuan PEMBELA dengan kerjasama Akademi Bulan Sabit Merah (ABSM) Negara Brunei Darussalam, itu disertai sama oleh wakil dari jabatan-jabatan kerajaan, sekolah rendah dan menengah, kampung-kampung dan mukim di Daerah Belait serta wakil-wakil daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia diadakan setiap tahun dan pada tahun ini, pendekatannya lebih kepada penglibatan kalangan masyarakat, yang antara lain bertujuan untuk memberikan kesedaran betapa pentingnya pengetahuan pertolongan cemas sebagai keutamaan dalam menyelamatkan nyawa.
Selain itu, bagi memberikan pengetahuan serta pengalaman kepada masyarakat umum tentang tatacara pertolongan cemas dilakukan mengikuti kaedah dan prinsip asas.
Panel forum bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan warga PBSM.
Di samping itu, ia juga bagi mempromosikan kursus pertolongan cemas yang disediakan oleh ABSM, serta sebagai salah satu khidmat masyarakat yang diberikan oleh PBSM di negara ini kepada masyarakat setempat dan merupakan salah satu program CARE (Community and Resilience Enpowerment).
Majlis diisikan dengan mengadakan Bicarawara Perdana (forum) oleh ABSM bertajuk Pertolongan Cemas Untuk Semua Dalam Komuniti dan Tatacara Rawatan Asas Pertolongan Cemas, kemudian disambung lagi pada sebelah petang de-ngan Taklimat Modul RC dan Pertolongan Cemas bagi ahli-ahli jawatankuasa eksekutif Daerah Belait dan para jemputan.
Setiausaha Agung merangkap Pengetua ABSM, Sheikh Haji Abdul Kadir bin Abdullah, semasa ditemui Media Permata menjelaskan, Hari Pertolongan Cemas diraikan buat kali kedua di negara ini.
Pada tahun lepas, ujarnya, ia dilancarkan di Daerah Brunei dan Muara dengan melibatkan penunggang-penunggang motosikal dan pada tahun ini pendekatannya lebih kepada penglibatan kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai Akademi Pertolongan Cemas, yang menurutnya ditubuhkan tahun lalu dan menerima pengiktirafan daripada Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).
Pada tahun ini, tambahnya, akademi berkenaan mula bergerak dengan mengadakan pelbagai kursus dan bengkel latihan seminar dan sebagainya.
Menurutnya lagi, melalui seminar dan forum yang diadakan hari ini, akan disusuli dengan memberikan kursus-kursus singkat dan intensif secara pengiktirafan dan persijilan.
PBSM memberikan dua jenis latihan iaitu seminar kepada masyarakat, NGO, syarikat-syarikat yang berkepentingan dan juga mengendalikan kursus pensijilan atau profesional mengikut piawaian keselamatan termasuk kepada syarikat-syarikat swasta yang mengamalkan keselamatan di tempat kerja.
Beliau berkata, ABSM telah menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 1,000 orang masyarakat yang berpengetahuan dalam perkhidmatan pertolongan cemas menjelang 2017.
“Pada tahun ini, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Perhubungan serta agensi-agensi awam dan sektor swasta, PBSM telah melatih sekurang-kurangnya lebih 500 orang, dan kami optimis untuk mencapai sasaran sehingga 1,000 orang dengan lebih kepada mendekati masyarakat kampung, belia-belia dan sebagainya,” ujarnya.
ABSM menawarkan pelbagai kursus latihan pertolongan cemas seperti CPR iaitu gabungan khidmat pertolongan cemas pernafasan dari mulut ke mulut dan tekanan dada serta sebagainya untuk membolehkan penduduk di negara ini bertindak dan mampu menguruskan kecemasan.
-Media Permata Online. 24 September 2016.