Waktu Bandar Utama

Rabu, 26 Februari 2020

PBSM diseru kukuhkan kesiapsediaan

Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam diseru untuk menerokai kemungkinan mengembangkan keanggotaannya terutama dalam kalangan pelajar dan remaja bagi mewujudkan kesedaran dan pemahaman yang lebih besar mengenai visi dan misi Bulan Sabit Merah dalam membantu masyarakat baik pada masa aman dan krisis.
Seruan ini dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam ucapannya selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Kolokium Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa dan Prinsip Asas Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) di Ibu Pejabat dan Akademi PBSM, di Bangunan Pejabat Pos Bunut, baru-baru ini.
“Kita telah mengalami bencana-bencana alam di rantau ini selama bertahun-tahun. Wabak koronavirus adalah isu terkini yang melanda dunia,” kongsinya.
Oleh itu, beliau menyeru dan mengingatkan akan pentingnya mengekalkan dan mengukuhkan kesediaan, memperlihatkan keupayaan dalam menghadapi bencana dan mengukuhkan daya tahan masyarakat.
Ini, tambahnya, memerlukan kerjasama lebih erat sama ada antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika hadir di Majlis Pembukaan Kolokium Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa dan Prinsip Asas Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) di Ibu Pejabat dan Akademi PBSM, di Bangunan Pejabat Pos Bunut.
Terdahulu itu, Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya berkata, aktiviti PBSM Brunei Darussalam memainkan peranan dalam mempromosi dan menyebarkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa kepada orang awam.
Beliau melahirkan perasaan gembira kerana PBSM bekerjasama rapat dan secara berterusan dengan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Negara Brunei Darussalam di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Sebagai rakan strategik NDMC, ujar beliau, PBSM telah mengambil bahagian dalam pelbagai inisiatif kebangsaan dengan kerjasama NDMC seperti menyediakan bantuan dalam menerima dan mencatat rekod sumbangan awam kepada NDMC berikutan operasi Taufan Haiyan di Filipina pada 2013.
Selain itu, menyediakan bantuan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) dalam bencana banjir dan pemulihan banjir dan baru-baru ini terlibat dalam kegiatan kesiapan NDMC – Program Penyelaras Kesiapsiagaan Bencana (DPC) yang dianjurkan pada Ogos tahun lalu.
Dalam perkara ini, beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada PBSM atas sokongan dan kerjasama dalam program ini seterusnya berharap kerjasama yang ada sekarang dapat di perkukuhkan di masa akan datang.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Zurab Burduli dan Catherine Martin yang masing-masing dari Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Presiden PBSM Brunei, Haji Suhaimi serta jemputan lain.
- Media Permata Online.

Isnin, 24 Februari 2020

PBSM siap siaga bantu masyarakat

Oleh : Haniza Abdul Latif


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Februari. - Penglibatan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam sejak tahun 2010 dalam aktiviti di rantau Asia Tenggara, telah meningkat termasuk menjadi penganjur bagi acara-acara serantau terutama dalam pembangunan persatuan dan kesiapsiagaan mengatasi bencana.
 

PBSM Negara Brunei Darussalam juga menjalankan pelbagai aktiviti dan program di peringkat kebangsaan yang tertumpu kepada memberikan perkhidmatan kepada masyarakat termasuk bantuan pertolongan cemas BRC pertama, pengukuhan sukarelawan, pengurusan bencana dan kesediaan.


Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menyatakan perkara tersebut semasa Perasmian Kolokium Bulan Sabit Antarabangsa dan Pergerakan Bulan Sabit Merah dan Asas Utama Perundangan Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) yang berlangsung di Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM Negara Brunei Darussalam, di sini.


Menurut Yang Berhormat, PBSM Negara Brunei Darussalam juga telah bekerja rapat dan berterusan bersama Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Negara Brunei Darussalam di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.


Sebagai rakan strategik NDMC jelasnya, PBSM Negara Brunei Darussalam telah mengambil bahagian dalam pelbagai inisiatif kebangsaan bersama NDMC seperti menyediakan bantuan dalam menerima dan mencatat rekod sumbangan awam kepada NDMC berikutan operasi Typhoon Haiyan di Filipina pada tahun 2013, menyediakan bantuan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) dalam kegiatan dan pemulihan banjir, dan baru-baru ini terlibat dalam aktiviti NDMC - Program Penyelaras Kesiapsiagaan Bencana (DPC) yang dianjurkan pada bulan Ogos tahun lepas.


Yang Berhormat seterusnya berharap, sebagai sebuah persatuan bukan kerajaan, PBSM Negara Brunei Darussalam akan memperkembangkan lagi keahliannya terutama dalam kalangan pelajar dan belia bagi meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman visi dan misi persatuan tersebut dalam membantu masyarakat.


Tambahnya, mengekalkan dan mengukuhkan lagi kesiapsiagaan, kapasiti dan keupayaan dalam tindak balas bencana adalah penting.


Oleh itu tekannya, kerjasama antara agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti adalah diperlukan.


Kolokium sehari itu merupakan pengenalan komprehensif pergerakan bulan sabit merah dan palang merah antarabangsa termasuk peranan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (International Committee of the Red Cross - ICRC); Penyelaras Pembangunan Persatuan Kebangsaan, Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (National Society Development Coordinator, International Federation of Red Cross and Red Crescent - IFRC) dan PBSM Negara Brunei Darussalam.


PBSM Negara Brunei Darussalam ditubuhkan dalam tahun 1991 dengan menyediakan bantuan kemanusiaan yang disertai sekitar 1,300 sukarelawan terdiri dari kalangan belia dan pelajar sekolah-sekolah menengah, institusi-institusi pengajian tinggi dan universiti tempatan termasuk sektor swasta dan awam.

- Pelita Brunei Online.

Ahad, 23 Februari 2020

PBSM sasar budayakan aspek keselamatan

Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Dengan sasaran untuk melahirkan seorang first aider dalam sebuah rumah dan membudayakan keselamatan dalam masyarakat di negara ini, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam merasmikan akademi dan ibu pejabat pentadbirannya sendiri di Kampung Bunut hari ini.
Perasmian akademi dan ibu pejabat berkenaan disempurnakan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof yang juga selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).
Presiden Bulan Sabit Brunei Darussalam, Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim dalam ucapannya, menekankan bahawa dalam Pelan Strategik PBSM 2020-2025, ia mahu membudayakan aspek keselamatan dalam masyarakat dengan usaha melahirkan sekurang-kurangnya seorang first aider dalam sebuah rumah.
Sasaran jangka panjang pula ialah untuk merealisasikan hasrat satu rumah atau satu keluarga untuk mempunyai seorang first aider menjelang 2035.
“Kita tidak perlu menjadi seorang pakar perkhidmatan pertolongan cemas atau mempunyai pensijilan yang diiktiraf untuk membantu menyelamatkan nyawa seseorang yang terlibat dalam kemalangan, kecederaan dan sakit secara tiba-tiba,” kata Haji Muhammad Suhaimi yang menggalakkan masyarakat untuk mempelajari asas pertolongan cemas untuk diguna pakai dalam menghadapi situasi kecederaan kecil mahupun sakit kronik yang datang secara tiba-tiba seperti serangan jantung dan sebagainya.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi mendengar penerangan mengenai latihan pertolongan cemas daripada salah seorang ahli PBSM sejurus perasmian akademi dan ibu pejabat pentadbirannya di Kampung Bunut, kelmarin. – Gambar oleh Rahwani Zahari
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib menandatangani plak sempena perasmian berkenaan. – Gambar oleh Rahwani Zahari
Menurutnya lagi, Akademi Bulan Sabit Merah yang ditubuhkan pada 2016 menawarkan pelbagai modul latihan dan sukatan pembelajaran pertolongan cemas mengikut standard dan piawaian antarabangsa.
Kemahiran dalam tindak balas pertolongan cemas terutama apabila menghadapi kecederaan dan kemalangan dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan teruk daripada kematian serta merta.
Ini, jelas Haji Muhammad Suhaimi, sejajar dengan hasrat persatuan dalam menyokong inisiatif Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi menerusi MKKJR untuk mengurangkan risiko kecederaan teruk dan kematian serta merta berdasarkan teras utama 5’E’ iaitu Engineering, Enforcement, Education, Environment dan Emergency Response.
Dengan adanya pejabat berkenaan, Akademi Bulan Sabit Merah dan Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM akan dapat ditadbir dengan sempurna dan lebih fokus dalam merancang, melaksanakan serta merealisasikan hala tuju persatuan.
Ibu pejabat kebangsaan persatuan itu mempunyai ruang pejabat dilengkapi dengan kelas latihan, ruang amali, ruang pameran pertolongan cemas, bilik mesyuarat dan bilik pentadbiran.

Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian akreditasi program latihan pertolongan cemas kepada Brunei Asia Pacific Shell Learning Hub, Royal Brunei dan Ashcore Sdn Bhd, dan juga penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama antara Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan PBSM berhubungkait dengan program latihan pertolongan cemas dan keselamatan di tempat kerja, penyediaan perkhidmatan kecemasan awam dan pelbagai inisiatif kemanusiaan antara kedua-dua pihak.
- Media Permata Online.

Perasmian ibu pejabat baharu PBSM

​Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Februari. - Dalam usaha untuk meningkatkan pentadbiran yang lebih sempurna dan fokus, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam kini mempunyai Ibu Pejabat Kebangsaan yang baharu terletak di tingkat atas, Bangunan Pejabat Pos Bunut.

Hadir bagi menyempurnakan perasmian Akademi dan Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM yang baharu ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR).



Dalam ucapan Presiden PBSM, Awang Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim menyatakan, Ibu Pejabat Kebangsaan ini akan dapat memberikan para ahli untuk merancang, melaksanakan serta merealisasikan hala tuju persatuan berkenaan.




Selain itu, ia juga dapat memastikan kualiti pembelajaran yang berkesan dan bersistematik dalam memenuhi permintaan serta permohonan kursus yang ditawarkan oleh Akademi berkenaan dan menjadi Pusat Akreditasi dan Pensijilan yang dipantau sepenuhnya oleh Ibu Pejabat Kebangsaan PBSM.


Tambahnya, melalui pelan strategik PBSM 2020 - 2025 menyasarkan untuk melatih lebih banyak First Aider dan membudayakan aspek keselamatan sebagai keutamaan dalam masyarakat terutamanya bila berlakunya kecemasan.


Di antara kursus pertolongan cemas yang disediakan adalah Workplace Saftey & Health in First Aid, Basic Cardiac Life Support (CPR & AED), First Aid For Childcare, School Safe Program dan Community Base First Aid.


Dengan adanya Akademi Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, pensijilan yang dikeluarkan adalah mengikut piawaian antarabangsa yang diiktiraf secara global dan kini diguna pakai melalui kolaborasi bersama Syarikat Minyak Shell Sdn. Bhd., Brunei LNG Sdn. Bhd., Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dan Ashcore Sdn. Bhd.


Majlis pada pagi tadi turut menyaksikan satu penandatanganan persefahaman antara PBSM Negara Brunei Darussalam dan Bank Islam Brunei Berhad (BIBD) bagi kerjasama dua hala dalam bidang berkaitan program-program latihan pertolongan cemas dan keselamatan di tempat kerja, penyediaan kecemasan awam dan pelbagai inisiatif kemanusiaan yang lainnya.


- Pelita Brunei Online.



Selasa, 12 November 2019

Pelan Strategi 2020 pastikan PBSM terus relevan

Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Pelan Strategi 2020 Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam akan dijadikan sebagai hala tuju kepada pergerakan itu selama lima tahun ke depan sehingga 2025.
Dengan adanya hala tuju itu, setiap ahli persatuan akan dapat sama-sama membangunkan PBSM untuk terus relevan dan mapan, jelas Presiden PBSM, Haji Mohd Suhaimi bin Haji Ibrahim ketika berucap pada Pelancaran Pelan Strategi 2020 PBSM Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.
Beliau juga menyentuh mengenai penstrukturan semula jawatankuasa majlis kebangsaan, pembentukan lembaga eksekutif kebangsaan dan jawatankuasa eksekutif di peringkat cawangan daerah di mana perubahan itu dihasratkan dapat memudah cara pengurusan serta pentadbiran persatuan ke arah peningkatan kapasiti organisasi bukan saja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Ini bagi memastikan bahawa PBSM Negara Brunei Darussalam akan tetap terus relevan dan menjadi auxiliari kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.”
Haji Mohd Suhaimi berkata pembangunan organisasi dan kapasiti kepimpinan adalah perlu dalam usaha sama-sama menuju Strategi 2020 yang akan dibentangkan dalam Kongres Agung 2020.
Haji Mohd Suhaimi (kanan) menyampaikan Surat Lantikan Jawatan Majlis Kebangsaan dan Lembaga Eksekutif Kebangsaan 2019-2020 kepada salah seorang penerima. – Gambar oleh Muiz Matdani
“Persiapan kita menjadi tuan rumah kepada Forum Belia Asia Tenggara 2020 dan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara pada Tahun 2022 menuntut kita untuk merapatkan SAF Kepimpinan dan bersedia secara fizikal dan mental.”
Beliau menambah, “Kita juga tidak terlepas dengan tanggungjawab kita di peringkat serantau apabila dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Asia Tenggara pada bulan lalu, 24 dan 25 Oktober, di Manila,PBSM Negara Brunei Darussalam telah pun dilantik menjadi negara koordinator dalam perkembangan dan pembangunan kapasiti belia palang merah dan bulan sabit merah Asia Tenggara.”
Ia merupakan satu penghormatan dan cabaran yang perlu kita galas bersama, tegas Haji Mohd Suhaimi lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa dalam sama-sama menuju era globalisasi dan evolusi pembangunan organisasi, mereka juga sedang berusaha untuk mencapai satu mercu kejayaan dalam menggubal perlembagaan PBSM Negara Brunei Darussalam yang sedang dalam semakan di peringkat akhir.
Di majlis berkenaan, Haji Mohd Suhaimi turut menyempurnakan penyampaian surat lantikan kepada ahli-ahli Majlis Kebangsaan dan Lembaga Eksekutif Kebangsaan 2019-2020.
- Media Permata Online.

Isnin, 6 Mei 2019

BDRCS launches first aid app for emergency preparedness


FIRST aid information and instruction are now readily available to the public, following yesterday’s official launching of the Brunei Darussalam Red Crescent Society (BDRCS)’s First Aid mobile app, at the Ministry of Transport and Infocommunications (MTIC).

Strategi digital kurangkan kemalangan

Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Penglibatan bersama pihak persatuan bukan kerajaan (NGO), swasta dan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan di jalan raya amat dialu-alukan terutama dengan perkembangan era digital masa kini khususnya revolusi industri 4.0, harapan orang ramai sangat tinggi untuk mendapatkan maklumat secara cepat dan tepat.
Dalam hubungan itu, aplikasi pertolongan cemas yang dilancarkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam akan memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat penting mengenai teknik dan tatacara memberi bantuan kecemasan dan nombor yang perlu dihubungi.
“Dalam kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah atas inisiatif ini dan saya menyeru agar perisian (content) akan dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Ini akan dapat menggalakkan lagi lebih ramai lagi pengguna memanfaatkan aplikasi ini,” jelas Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) semasa Majlis Pelancaran Aplikasi Pertolongan Cemas dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bulan Sabit Merah 2019 yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jalan Menteri Besar, hari ini.
Beliau berkata, sebagai inisiatif bertahap global ke arah meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, aplikasi yang dilaksanakan oleh PBSM itu, dapat menyumbang kepada strategi teras ‘Menyelamatkan Nyawa’ (Saving Lives) yang terkandung dalam Decade of Action for Road Safety 2011-2020 yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi panduan MKKJR bagi mencapai komitmennya ke arah zero road fatalities.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib berucap semasa Majlis Pelancaran Aplikasi Pertolongan Cemas dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bulan Sabit Merah 2019 yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Info-Komunikasi.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib menyampaikan poster dan poskad Keselamatan di Jalan Raya kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Dato berkata lagi bahawa daripada pemerhatian peribadinya, masih terdapat banyak kenderaan yang tidak memasang lampu semasa waktu hujan dan jerebu apatah lagi pada waktu malam.
“Terdapat banyak amalan-amalan terbaik di luar negeri yang patut dicontohi dalam hal ini,” ulasnya.
Beliau berkata, dalam kajian yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Save Lives: A Road Safety Technical Package (2017), menyatakan kepentingan bagi memasang lampu kenderaan walaupun pada waktu siang bagi meningkatkan darjah penglihatan kenderaan berkenaan terutama bagi pengguna jalan raya seperti motosikal.
“Ini akan dapat mengurangkan insiden kemalangan yang berkaitan dengan visibility,” jelasnya lagi.
Beliau menerangkan bahawa kereta atau kenderaan model terbaharu pada masa ini, sedia dipasang dengan daytime running lights.
“Walaupun pada masa ini ianya belum menjadi satu keperluan mandatori di bawah sebarang akta dan peraturan jalan raya, saya menyeru agar semua pengguna jalan raya untuk membudayakan pemasangan lampu semasa di jalan raya.”
Yang Berhormat Dato berkata, MKKJR juga terus berusaha memberi pembaharuan dalam pendekatan yang diusahakan dan antaranya melalui platform digital.
Beliau berkata bahawa setakat ini, Brunei Road Safety Online Pledges sudah merekodkan lebih 6,600 ikrar dalam talian (online pledges) dan beliau menyatakan harapan ia akan mencapai sekurang-kurangnya 10,000 ikrar pada penghujung 2019.
Selain daripada itu, ulasnya, kempen keselamatan jalan raya ke sekolah-sekolah dan melalui platform Bandarku Ceria bersama rakan-rakan strategik juga telah diadakan dan pada Disember 2018, MKKJR dengan kerjasama rakan-rakan strategik seperti Syarikat Minyak Brunei Shell telah melancarkan Kempen Bagitau Semua atau Tell Everyone.
Kempen itu telah menekankan kepentingan penggunaan tali pinggang keledar semasa memandu, mematuhi had laju di jalan raya dan untuk tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Yang Berhormat Dato mendedahkan bahawa daripada data yang direkodkan, terdapat penurunan sebanyak 44 peratus dalam jumlah kehilangan nyawa daripada kemalangan jalan raya pada 2018 berbanding daripada purata 2010 hingga 2017.
Beliau menekankan bahawa hasrat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tidak akan mudah dicapai tanpa adanya kerjasama dengan pelbagai pihak.
Dalam perkara itu, Yang Berhormat Dato mengalu-alukan penyertaan masyarakat awam dan pihak-pihak NGO untuk terlibat dalam apa jua inisiatif yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya dan MKKJR sentiasa mengamalkan sikap terbuka untuk menerima apa jua cadangan-cadangan bagi maksud itu.
Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato berkata bahawa Majlis Pelancaran Aplikasi Pertolongan Cemas dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bulan Sabit Merah 2019 merupakan testimoni kepada usaha bersepadu antara semua pihak sama ada pihak kerajaan mahu pun NGO ke arah meningkatkan keselamatan jalan raya di Negara Brunei Darussalam.
- Media Permata Online.