Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
DENGAN memanjatkan
syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan di atas izin serta limpah
kurnia rahmat dan hidayah-Nya jua kita dapat berkumpul pada petang awal
bulan Syaaban ini di Majlis Perhimpunan Agung Kebangsaan Hari Palang
Merah dan Bulan Sabit Sedunia. Selawat serta salam ke atas Junjungan
Besar Nabi kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat dan
pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.
Alhamdulillah, Persatuan Bulan Sabit
Merah Negara Brunei Darussalam kini telah pun mencecah usia 68 tahun
penubuhannya. Sejarah awalnya bermula di tahun 1948 dengan Cawangan
Palang Merah British.
Persatuan Bulan Sabit Merah Negara
Brunei Darussalam ditubuhkan dengan matlamat utama untuk mengujudkan
sebuah badan pergerakan kemanusiaan yang bertaraf antarabangsa tanpa
perbezaan politik, bangsa, agama dan bersesuaian dengan tujuh prinsip
asas fundamental yang diamalkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Negara
Brunei Darussalam.
Penubuhan Persatuan Bulan Sabit Merah
Negara Brunei Darussalam juga sejajar dengan penandatanganan empat
konvensyen Geneva pada 12 Ogos 1949 bersama dengan protokol 1 dan 2 pada
bulan Jun 1972 dan seterusnya protokol-protokol tambahan lainnya.
Persatuan Bulan Sabit Merah Negara
Brunei Darussalam dengan sendirinya menjadi auxiliary kepada Kerajaan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah pergerakan
kemanusiaan yang memberikan perkhidmatan sukarela sesuai dengan piagam
antarabangsa dan yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara Brunei
Darussalam. Saya difahamkan bahawa pada setiap 8 Mei setiap tahun,
Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa merayakan Hari
Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia.
Makanya Persatuan Bulan
Sabit Merah Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Perhimpunan Agung
pada hari ini bertepatan tarikh bersukut baik itu. Pada tahun ini tema
yang dipilih ialah 'Everywhere for Everyone' atau 'Di Mana Saja untuk
Sesiapa Jua'.
Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit
Merah Antarabangsa yang dianggotai oleh 190 buah negara di seluruh
dunia, Negara Brunei Darussalam adalah ahlinya yang ke-170. Dengan
keahlian hampir 17 juta sukarelawan ia telah berjaya menjadi sebuah
pergerakan kemanusiaan yang besar dan mampan.
Penglibatan kerja-kerja
kemanusiaan yang dilakukan secara sukarela sama ada dalam menghadapi
suasana peperangan, bencana alam, kemelut perang saudara dan pelbagai
isu lain telah berjaya menjadikannya sebuah organisasi yang
penting.Seperti maklumat yang saya terima, saya amat bangga dengan
perkembangan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.
Dalam usianya yang kini 68 tahun,
persatuan ini telah pun berjaya khususnya dalam mengharungi era
transformasi kepimpinannya. Warga belia pada hari ini telah diberi
kesempatan dan kepercayaan menjadi pemimpin utama dalam barisan Lembaga
Eksekutif Kebangsaan dan ini adalah satu kemajuan dalam usaha
mendekatkan jurang kepimpinan generasi masa lalu dengan generasi masa
depan. Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah menyedari warga
belia adalah generasi yang bakal menyambung ke depan pergerakan
kemanusiaan yang menjadi paksi utama kepada organisasi Palang Merah dan
Bulan Sabit Merah Antarabangsa.
Sehubungan dengan evolusi terkini ini,
Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam perlu terus peka
terhadap cabaran dalam kepimpinan dan cabaran untuk terus meningkatkan
keupayaan kapasiti ahli-ahlinya dalam memastikan objektif penubuhan
persatuan ini akan tetap terus relevan dan mampu memberikan perkhidmatan
cemerlang kepada bangsa dan negara.
Dalam era ekonomi dunia yang dihambat
oleh pelbagai cabaran ini, seperti juga pergerakan atau persatuan yang
lain, ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam
perlu lebih proaktif dalam memastikan keupayaan peningkatan diri sendiri
terutama sekali dalam mencari jalan untuk menjana pendapatan sebagai
pemangkin dana untuk membiayai kegiatan dan aktiviti serta urus tadbir
organisasi.
Di Brunei Darussalam, Persatuan Bulan
Sabit Merah cukup sinonim dengan Perkhidmatan Pertolongan Cemas.
Program-program latihan pertolongan cemas merupakan salah satu peluang
yang boleh dikomersialkan sebagai produk menjana dana.
Dengan penubuhan Akademi Pertolongan
Cemas Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam pada tahun
lalu, saya difahamkan bahawa akademi ini telah pun mendapat
pengiktirafan daripada Internatioanl Federation of Red Cross and Red
Crescent Society dan sekali gus akademi ini juga telah diberikan
pengiktirafan antarabangsa untuk mengeluarkan sijil-sijil pertolongan
cemas.
Saya juga dimaklumkan bahawa Persatuan
Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam telah pun bekerjasama dengan
pihak-pihak yang berkepentingan di negara ini dalam hubung kait
penyediaan program-program pertolongan cemas yang lebih komprehensif dan
bersesuaian dengan modul kebangsaan. Persatuan Bulan Sabit Merah Negara
Brunei Darussalam memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan
Perkhidmatan Pertolongan Cemas ataupun First Aid Services.
Selain dari itu, saya dan Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan juga maklum dan memberikan penghargaan di
atas keterlibatan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam
dalam kerja-kerja Pengurusan Bencana di Peringkat Kebangsaan. Malah
persatuan ini juga aktif dalam memeduli warga masyarakat yang kurang
berkemampuan dengan mengungkayahkan projek-projek amal dan kemanusiaan
dari semasa ke semasa.
Kepada semua warga Persatuan Bulan Sabit
Merah Negara Brunei Darussalam saya penuh berharap supaya akan terus
komited dalam memberikan Perkhidmatan Pertolongan Cemas sebagai wadah
fundamental kepada pergerakan kemanusiaan yang sudah sebati dalam diri
semua semenjak 68 tahun yang lalu.
Saya sukacita menyampaikan ucapan
setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Ahli Lembaga Eksekutif
Kebangsaan yang baharu dilantik yang akan menerajui kepimpinan
organisasi sehingga satu masa yang telah ditetapkan dan insyaaAllah akan
dapat terus membawa persatuan ketahap yang lebih membanggakan dan
berjaya.
Tahniah dan penghargaan juga kepada
seluruh warga Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam di atas
Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia yang dirayakan
pada hari ini semoga tema 'Di Mana Saja untuk Sesiapa Jua' akan tetap
menjadi pemangkin kepada usaha memberdayamajukan Persatuan Bulan Sabit
Merah Negara Brunei Darussalam menepati objektif penubuhannya.
Pada akhirnya, saya juga mengucapkan
sangat berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah
Negara Brunei Darussalam kerana memberikan saya kesempatan istimewa
hadir dan menjadi sebahagian dari abiskita di perhimpunan yang
signifikan dan bersejarah ini.
Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarkatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan