Waktu Bandar Utama

Rabu, 18 Mei 2016

Hadapi cabaran dengan perpaduan

Oleh:  Aimi Sani / Foto: Masri Osman

TETAMU kehormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa hadir di Program Perhimpunan Agung Kebangsaan Hari Palang Merah & Bulan Sabit Merah Sedunia.

BERAKAS, Ahad, 8 Mei. – Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalami meraikan Majlis Perhimpunan Agung Kebangsaan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia bertempat di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Juga hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Ismail bin Kassim dalam ucapan alu-aluannya berkata segala cabaran mestilah diterima dengan perpaduan dalam satu kumpulan yang berhemah dengan panduan serta limpah rahmat Allah yang mana ianya diterima kerana telah dimandatkan dengan pilihan yang diadakan secara undi kepercayaan di mana kepercayaan itu mesti berpegang kepada asas dan dasar yang tersedia iaitu kejujuran, ikhlas dan tulus.
080516 ASRI10 BOLASEPAK
YANG Berhormat Menteri KKBS semasa menyempurnakan tauliah kenaikan pangkat kepada Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah,  Negara Brunei Darussalam.

Beliau juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas bantuan kerajaan dalam pembayaran bantuan tetap sejak tahun 2014.

Persatuan ini jelasnya, pada tahun lepas telah diberikan pengiktirafan oleh Badan Induk melalui France Academy of First Aids bagi Akademi Latihan khususnya dalam pengendalian pertolongan cemas.

Selain itu, beliau berharap agar persatuan ini akan sebanding dengan persatuan-persatuan kebangsaan lain di rantau ini.
080516 masri01
BACAAN Ikrar Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam.

Terdahulu sebelum itu, tetamu kehormat berkesudian menyempurnakan Majlis Tauliah Kenaikan Pangkat Pegawai-Pegawai Kanan Ahli Lembaga Eksekutif Kebangsaan dan Tauliah Pangkat Pegawai Kadet Platun Sekolah diikuti dengan ikrar Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam dan Majlis Penyampaian Sijil Lantikan dan Sijil Tauliah Pangkat Penghormatan kepada ahli lembaga penasihat.

Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah sedunia diraikan pada setiap 8 Mei dan Negara Brunei Darussalam adalah merupakan ahli ke-170 dari 190 bagi Persatuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.

- Pelita Brunei Online. Isnin, 09 Mei 2016.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan