Waktu Bandar Utama

Rabu, 18 Mei 2016

Terus komited dalam pergerakan kemanusiaan

Oleh:  Aimi Sani / Foto: Masri Osman

MENTERI KKBS, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Agung Kebangsaan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia.

BERAKAS, Ahad, 8 Mei. - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata, Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam perlu terus peka terhadap cabaran dalam kepimpinan dan cabaran untuk terus meningkatkan kapasiti ahli-ahlinya.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Agung Kebangsaan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia bertempat di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat Menteri seterusnya menjelaskan bahawa ini adalah bagi memastikan objektif penubuhan persatuan ini akan tetap terus relevan dan mampu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada bangsa dan negara.

Dalam era ekonomi dunia yang dihambat oleh pelbagai cabaran ini, ujar Yang Berhormat, seperti juga pergerakan atau persatuan yang lain, ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam perlu lebih proaktif dalam memastikan keupayaan peningkatan diri sendiri terutama sekali dalam mencari jalan untuk menjana pendapatan sebagai pemangkin dana untuk membiayai kegiatan dan aktiviti serta urustadbir organisasi.

"Di Brunei Darussalam, Persatuan Bulan Sabit Merah cukup sinonim dengan Perkhidmatan Pertolongan Cemas. Program-program latihan pertolongan cemas merupakan salah satu peluang yang boleh dikomersilkan sebagai produk menjana dana.

"Dengan penubuhan Akademi Cemas Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam pada tahun lalu, saya difahamkan bahawa akademi ini telahpun mendapat pengiktirafan daripada International Federation of Red Cross and Red Crescent Society dan sekaligus akademi ini juga telah diberikan pengiktirafan antarabangsa untuk mengeluarkan sijil-sijil pertolongan cemas.

"Saya juga dimaklumkan bahawa Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam telahpun bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan di negara ini dalam hubungkait penyediaan program-program pertolongan cemas yang lebih komprehensif dan bersesuaian dengan modul kebangsaan. Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan Perkhidmatan Pertolongan Cemas ataupun First Aid Services," terang Yang Berhormat.

Dalam pada itu, Yang Berhormat melahirkan harapan kepada semua warga Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam supaya akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan pertolongan cemas sebagai wadah asas kepada pergerakan kemanusiaan yang sudah sebati dalam diri semua semenjak 68 tahun yang lalu.

Terdahulu sebelum itu, Yang Berhormat berkata Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam ditubuhkan dengan matlamat utama untuk mewujudkan sebuah badan pergerakan kemanusiaan yang bertaraf antarabangsa tanpa perbezaan politik, bangsa, agama dan bersesuaian dengan tujuh prinsip asas yang diamalkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam.

Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam tambah Yang Berhormat, juga sejajar dengan penandatanganan empat konvensyen Geneva pada 12 Ogos 1949 bersama dengan protokol 1 dan 2 pada bulan Jun 1972, seterusnya protokol-protokol tambahan lainnya.

Menurut Yang Berhormat, Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam dengan sendirinya menjadi auxiliari kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah pergerakan kemanusiaan yang memberikan perkhidmatan sukarela sesuai dengan piagam antarabangsa dan yang terkandung di dalam perlembagaan Negara Brunei Darussalam.

"Pada setiap 8 Mei setiap tahun, Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam merayakan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia. Makanya Persatuan Bulan Sabit Merah, Negara Brunei Darussalam mengadakan Majlis Perhimpunan Agung pada hari ini bertepatan tarikh bersukut baik itu. Pada tahun ini tema yang dipilih ialah 'Everywhere for Everyone' atau Di Mana Saja untuk Sesiapa Jua," terang Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang dianggotai oleh 190 buah negara di seluruh dunia, Negara Brunei Darussalam adalah ahlinya yang ke-170 dan dalam usianya yang kini 68 tahun, persatuan ini telahpun berjaya khususnya dalam mengharungi era transformasi kepimpinannya.

Warga belia pada hari ini, tambah Yang Berhormat, telah diberi kesempatan dan kepercayaan menjadi pemimpin utama dalam barisan Lembaga Eksekutif Kebangsaan dan ini adalah satu kemajuan dalam usaha mendekatkan jurang kepimpinan generasi masa lalu dengan generasi masa depan.

Persatuan Palang dan Bulan Sabit Merah menyedari warga belia adalah generasi yang bakal menyambung ke depan pergerakan kemanusiaan yang menjadi paksi utama kepada organisasi Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.

- Pelita Brunei Online. Isnin, 09 Mei 2016.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan